Cara Buka Akaun Amanah Hartanah Bumiputera (AHB)

cara buka akaun amanah hartanah bumiputera ahbDalam artikel sebelum ini, saya ada berjanji nak tulis artikel berkenaan cara buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).

Mungkin ada yang berminat nak melabur dalam dana Amanah Hartanah Bumipuetra, tetapi sebab kurang jelas dengan caranya, maka hasrat terbantut.

Sepertimana yang kita sedia maklum, sekarang peluang untuk mula atau tambah pelaburan dalam dana AHB sedang dibuka susulan pengumuman tambahan unit sebanyak 500 juta unit baru-baru ini.

Biasanya, memang unit dana AHB cepat habis.

Jadi, alang-alang dah ada peluang sekarang, rugi juga kalau terlepas kali ini.

Bagi yang berminat nak tahu cara buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera dan mulakan pelaburan, teruskan baca perkongsian saya kali ini.

Baca juga:  Kenapa Perlu Tahu Cara Kira Pulangan Pelaburan?

Siapa yang boleh buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?

Sebelum kita pergi kepada cara buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera, jom kita fahami dulu beberapa perkara penting tentang dana ini.

Dana AHB adalah terbuka kepada semua individu Bumiputera Malaysia yang berumur seawal 3 bulan.

Bagi individu Bumiputera berumur 18 tahun dan ke atas, mereka boleh buka Akaun Dewasa AHB.

Bagi pemohon dan kanak-kanak berumur 3 bulan sehingga 18 tahun, mereka boleh buka Akaun Remaja di bawah nama penjaga yang sah; kedua-dua penjaga dan pemohon mestilah Bumiputera Malaysia.

Selain individu, dana AHB juga terbuka kepada institusi Bumiputera seperti koperasi, pertubuhan atau persatuan yang selayaknya.

Berapa kos buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?

Seperti yang saya tulis di dalam artikel sebelum ini, kos pelaburan dalam AHB adalah rendah.

Tiada caj jualan dan penebusan.

Yang ada hanya kos-kos kecil seperti yuran pengurusan dan yuran pemegang amanah yang dikenakan secara tidak langsung ke atas jumlah unit dana yang dimiliki.

Harga unit pula adalah tetap dan rendah pada harga RM 1.00 seunit.

Boleh dikatakan, kos memulakan pelaburan dalam AHB adalah rendah.

Tak perlu risau kena sediakan modal yang tinggi.

Berapa had minimum untuk mula melabur dalam dana AHB?

cara buka akaun amanah hartanah bumiputera ahbUntuk pelaburan individu, ada 2 cara untuk mula melabur dalam dana AHB iaitu sama ada secara tunai atau pengeluaran Akaun 1 KWSP.

Untuk pelaburan secara tunai, had minimum adalah 100 unit.

Jadi, pelabur boleh mula buka akaun AHB serendah RM 100 sahaja.

Bagi pelaburan melalui Akaun 1 KWSP pula, had minimum adalah 1000 unit bersamaan RM 1,000

Di samping itu, perlu memenuhi keperluan-keperluan lain untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP seperti had 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas.

Dengan had minimum yang rendah ini, boleh dikatakan ramai orang berkemampuan nak mula melabur dalam AHB.

Baca juga:  Tahukah Anda Apakah Pelaburan Terbaik?

Di mana boleh buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?

Setakat artikel ini ditulis, hanya Maybank dan AmBank sahaja dilantik sebagai ejen atau pengedar bagi dana AHB.

Oleh itu, untuk buka akaun AHB, kena berkunjung ke mana-mana cawangan kedua-dua bank ini.

Senarai cawangan Maybank boleh dilihat di sini, manakala cawangan AmBank boleh dilihat di sini.

Pastikan datang pada hari dan waktu perniagaan sahaja iaitu hari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.

Apa yang diperlukan untuk buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?

Sebelum buka akaun AHB, bakal pelabur perlu mempunyai akaun simpanan Maybank.

Ini kerana, nombor akaun tersebut adalah diperlukan untuk diisi di dalam borang untuk buka akaun AHB nanti.

Kenapa akaun simpanan Maybank diperlukan untuk mula melabur dalam AHB?

Sebabnya, sebarang agihan pendapatan ke atas unit AHB yang dipegang nanti akan dimasukkan ke dalam akaun ini.

Jadi, kalau masih belum miliki akaun simpanan Maybank, kena buka akaun simpanan tersebut terlebih dahulu sebelum buka akaun AHB.

Kena sediakan sedikit wang untuk buka akaun simpanan tersebut sepertimana yang ditetapkan.

Boleh rujuk di sini untuk lebih maklumat berkenaan akaun-akaun simpanan Maybank.

Nanti, apabila nak buka akaun pelaburan AHB, tak perlu bawa salinan buku simpanan atau penyata akaun simpanan, yang penting pastikan anda mempunyai nombor akaun tersebut.

Salin pada kertas atau dalam handphone pun tidak mengapa.

Apa dokumen-dokumen yang diperlukan untuk buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera?

Untuk buka akaun AHB, hanya perlu bawa MyKad anda sendiri jika ingin membuka akaun dewasa untuk diri-sendiri.

Jika nak buka akaun remaja untuk anak atau jagaan yang berumur 3 bulan hingga 18 tahun, kena turut bawa MyKad atau salinan asal surat beranak anak atau jagaan tersebut.

6 langkah buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera

cara buka akaun amanah hartanah bumiputera ahb

Sekarang, selepas faham semua maklumat di atas dan sediakan dokumen-dokumen secukupnya, boleh ikuti langkah-langkah yang berikut untuk mula melabur dalam AHB:

Langkah #1 – Cari lokasi ejen AHB, iaitu cawangan Maybank atau AmBank yang terdekat atau mudah dikunjungi

Langkah #2 – Berkunjung ke lokasi yang dipilih, maklumkan pegawai bertugas di kaunter pertanyaan yang anda nak buka akaun AHB.

Langkah #3 – Anda akan diminta untuk berjumpa dengan Eksekutif Kewangan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang dana AHB

Langkah #4 – Anda akan diminta untuk mengisi “Borang Pendaftaran – Akaun Dewasa” atau “Borang Pendaftaran – Akaun Kanak-Kanak/Remaja”, mengikut mana-mana yang berkenaan

Langkah #5 – Serahkan borang yang lengkap diisi berserta dokumen-dokumen yang diperlukan serta modal permulaan pelaburan dalam bentuk tunai atau cek jurubank di kaunter bank.

Langkah #6 – Selepas permohonan selesai diproses, anda akan diberikan salinan Borang Pendaftaran yang disahkan sebagai bukti pelaburan. Di atasnya akan tercatat nombor akaun AHB serta jumlah pelaburan yang dimiliki. Simpan nombor akaun AHB tersebut, mana tahu pada masa akan datang anda nak tambah pelaburan lagi, boleh guna sahaja nombor akaun tersebut. Tiada buku akan diberikan, hanya salinan tersebut sahaja.

Selesai.

Itulah sahaja langkah-langkah yang terlibat dalam proses buka akaun pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera.

Tak susah pun.

Jadi, tunggu apa lagi, jom cepat-cepat buka akaun pelaburan AHB sebelum penuh.

Selamat melabur ya!

p/s: Kalau rasa artikel ini bermanfaat, jangan lupa untuk KONGSIKAN artikel ini ya! Terima kasih.

 

..

Baca juga:  6 Persediaan Sebelum Mulakan Pelaburan

 

 

 

 

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini