Tips Urus Wang Graduan Muda Supaya Cerah Masa Depan

tips urus wang graduan mudaSebelum ini saya ada tulis satu artikel berkenaan tips pengurusan kewangan untuk orang muda, dan hari ini saya nak kongsi pula satu artikel berkenaan tips urus wang graduan muda.

Artikel ini asalnya disediakan dan disiarkan oleh RinggitPlus, anda boleh baca artikel asal di sini

Ada bezakah tips pengurusan kewangan antara orang muda dan graduan muda?

Tiada beza pun, kedua-duanya ditujukan untuk golongan sasar yang sama.

Tips yang disediakan adalah secara umum, semuanya sesuai sebagai panduan untuk memantapkan lagi pengurusan kewangan peribadi orang muda.

Mana-mana tips yang dirasakan bermanfaat dan sesuai untuk diri-sendiri, bolehlah dilaksanakan.

Kalau rasa ada tips yang tidak mampu dilaksanakan, janganlah pula mencemuh, kerana mungkin sahaja tips itu tidak sesuai untuk anda tetapi sesuai untuk orang lain.

Eh, membebel pula saya kali ini.

Baiklah, tanpa membuang masa, jom kita lihat satu per satu tips urus wang graduan muda yang disediakan RinggitPlus.

tips urus wang graduan muda

Tips urus wang graduan muda – Cara-cara memperuntukkan bajet anda

Sejak daripada gaji pertama lagi, setiap graduan muda disarankan supaya urus wang gaji tersebut dengan menyediakan bajet yang baik.

Antara bajet yang dicadangkan adalah (andaikan purata gaji graduan muda adalah RM 2,000 setiap bulan)

  • rumah & utiliti (bil elektrik, air, telefon, internet) = 35% (RM 700)
  • makan & minum = 20% (RM 400)
  • simpanan = 10% (RM 200)
  • pembayaran pinjaman = 10% (RM 200)
  • pinjaman & perbelanjaan kereta = 10% (RM 200)
  • pakaian & hiburan = 10% (RM 200)
  • insurans kenderaan = 5% (RM 100)

Satu cadangan bajet yang baik diberikan kepada graduan muda supaya dapat menguruskan pendapatan yang diperoleh dengan baik.

Namun, secara peribadi, saya berpendapat lebih banyak penjimatan boleh dilakukan supaya simpanan dapat diperbanyakkan lagi.

Mungkin boleh dikurangkan lagi perbelanjaan untuk rumah & utiliti; boleh sahaja menyewa bilik yang murah atau tinggal bersama ibubapa, amalkan tips jimat elektrik dan pilih pakej perkhidmatan talian telefon dan internet prabayar yang lebih murah.

Boleh juga kurangkan perbelanjaan untuk pakaian & hiburan; tak perlu beli pakaian baru setiap bulan, hiburan pula boleh sahaja dapatkan yang percuma.

Graduan muda patut menyimpan dengan semaksimanya supaya perjalanan kewangan selepas ini akan berjalan dengan lebih baik.

Sebagai alternatif, boleh rujuk artikel Formula Pengurusan Kewangan Bagi Yang Baru Mula Bekerja untuk lebih banyak idea berkenaan cara menguruskan gaji dengan lebih baik.

Baca juga:  3 Indikator Untuk Kiraan Pulangan Pelaburan

Tips urus wang graduan muda – Cara membina kewangan anda

Topik pengurusan kewangan peribadi adalah satu topik yang sangat penting, tetapi malangnya bukan merupakan topik yang diajar di peringkat sekolah.

Topik ini hanya diajar di peringkat pengajian tinggi, itu pun dalam silibus sesetengah kursus sahaja.

Akibatnya, kebanyakan graduan muda memang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Sebab itulah ramai graduan yang tersalah langkah dalam membina kewangan mereka menyebabkan mereka terjerumus ke lembah neraka wang.

Jadi, sebagai tips urus wang graduan muda, berikut merupakan tips yang perlu dilakukan untuk membina kewangan anda dengan baik:

Tips #1 – Baca artikel dan buku kewangan peribadi untuk meningkatkan ilmu kewangan anda

Antara buku yang dicadangkan adalah Bajet Power: Simpan & Labur Gaya Orang Muda (Tuan Harith Faisal), 100 #Tip Kewangan Praktikal (Tuan Alwi Adam) dan Bijak Mengurus Wang (Puan Hajah Rohani)

Selain daripada itu, boleh juga baca daripada blog-blog seperti Jom Urus Duit, Duit Kertas dan Halal Money.

Apabila ilmu dah mantap, senanglah nak rangka pelan pengurusan kewangan peribadi sendiri.

Tips #2 – Kawal perbelanjaan anda

Kunci kepada pengurusan kewangan yang efektif adalah disiplin diri; perlu keazaman yang tinggi untuk kawal nafsu daripada berbelanja kepada perkara kehendak yang bukan keperluan segera.

Buat kiraan bajet bulanan yang terperinci dan semak setiap perbelanjaan anda.

Gunakan aplikasi telefon pintar seperti FastBudget atau MoneyLover.

Untuk permulaan, catat setiap perbelanjaan setiap item, buat setiap hari untuk sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan.

Daripada catatan yang dibuat, kenalpasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan supaya lebih banyak duit gaji dapat digunakan untuk perbelanjaan keperluan yang lebih penting atau disimpan.

Selepas itu, bolehlah rangka bajet perbelanjaan sendiri untuk digunakan pada bulan-bulan seterusnya.

Dari tahun ke tahun, semak dan ubahsuailah bajet yang dibuat supaya sesuai dengan pendapatan dan komitmen semasa.

tips urus wang graduan mudaTips #3 – Jangan abaikan pinjaman pendidikan anda

Walaupun kadar faedah pinjaman pendidikan kebiasaannya rendah, lama-kelamaan jumlahnya semakin besar jika tidak dibayar langsung dan ini akan membebankan anda pada kemudian hari.

Jadi, apabila sudah ada pendapatan, hubungi pihak berkenaan dan selesaikan pinjaman pendidikan anda secepat meungkin.

Tidak perlu pun bayar semua sekaligus, bincanglah dengan pemiutang supaya dapat merangka pelan bayaran yang sesuai dengan anda.

Lagipun, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk menyelesaikan pinjaman pendidikan supaya pelajar-pelajar baru berpeluang pula untuk mendapatkan pinjaman bagi membiayai pendidikan mereka.

Tips #4 – Lindungi diri anda dengan insurans atau takaful

Beli insurans atau langgan takaful sementara anda masih muda dan risiko kesihatan masih murah, kerana kadar premium akan menjadi lebih murah.

Mulakan dengan pelan insurans atau takaful yang berpatutan, seperti insurans hayat atau kad kesihatan.

Lindungi risiko yang perlu sahaja dahulu; risiko terbesar bagi orang muda yang sihat adalah kemalangan, jadi cukup sekadar ambil perlindungan insurans takaful kemalangan terlebih dahulu.

Dari semasa ke semasa, boleh tambah lagi manfaat dan risiko yang dilindungi supaya nanti dapat mencapai perlindungan yang optimum berdasarkan keperluan kewangan sendiri.

Sebagai panduan, boleh baca artikel-artikel yang berikut:

Tips #5 – Bina skor kredit yang sihat

Skor kredit yang sihat adalah penting bagi meningkatkan kadar kelulusan pinjaman kewangan dan pada kadar faedah yang munasabah.

Untuk bina skor kredit yang sihat, boleh ikuti langkah-langkah yang berikut:

  • Mohon kad kredit bagi memulakan rekod kredit
  • Kawal perbelanjaan kad kredit tersebut pada perkara-perkara yang perlu sahaja seperti mengisi minyak dan membayar bil utiliti, jangan gunakan kad kredit jika tidak mampu membayar balik.
  • Bayar bil-bil pada masa yang ditetapkan, rekod pembayaran akan tertera di dalam rekod kredit

Dengan membina skor kredit yang sihat, bank-bank akan lebih yakin dengan anda dan ini akan memudahkan anda untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan untuk perkara-perkara yang lebih penting seperti membeli rumah dan hartanah.

Selain menggunakan kad kredit untuk membina skor kredit, boleh juga mohon pembiayaan ASB dan buat teknik financing ASB

Dengan teknik financing ASB, bukan sahaja dapat bina skor kredit yang sihat malah gandakan simpanan dengan lebih cepat.

Baca juga:  9 Cara Beli Rumah Tanpa Modal Besar

Tips urus wang graduan muda – Perkara yang perlu anda lakukan dalam usia 20-an

Bak kata orang, apa yang dilakukan pada usia muda akan menentukan kedudukan anda pada usia tua.

Begitu juga dalam pengurusan kewangan peribadi.

Untuk memastikan kedudukan kewangan yang selesa pada usia tua kelak, pastikan untuk lakukan perkara-perkara yang berikut:

#1 – Pilih kerjaya anda dengan bijak

Cari peluang kerjaya yang stabil dan luangkan masa untuk belajar bagi meningkatkan nilai diri kepada syarikat.

Mungkin ada yang kata, sebagai graduan muda, amat sukar untuk mendapatkan kerjaya impian dengan gaji yang besar serta-merta selepas habis belajar.

Itu memang betul, sebab itulah graduan muda disarankan untuk mencari kerja secepat mungkin dan tidak memilih kerja.

Pada peringkat awal, timba pengetahuan dan pengalaman terlebih dahulu walaupun kerjaya yang diceburi masih belum merupakan kerjaya impian.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang semakin bertambah, nilai diri akan meningkat dan ini akan membantu anda untuk mendapatkan kerjaya impian dengan mudah.

Selain daripada itu, graduan muda juga perlu berfikiran lebih kreatif dan terbuka, jangan hanya mengejar kerjaya makan gaji sahaja.

Graduan muda seharusnya cuba cipta peluang kerja sendiri dengan menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan.

Kalau betul-betul fokus dan bersungguh-sungguh, pasti perniagaan boleh berjaya.

Boleh baca artikel 4 Kuadran Sumber Pendapatan untuk lebih info berkaitan topik ini.

#2 – Mulakan dana kecemasan

Simpan sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan untuk situasi yang tidak dijangka.

Sangat disarankan untuk baca artikel ini: 3 Jenis Dana Kecemasan

#3 – Mulakan pelaburan anda

Jangan tunggu sehingga anda sudah berusia untuk mula melabur.

Semakin awal mulakan pelaburan, semakin banyak hasil yang akan terkumpul nanti hasil daripada compounding power.

Di Malaysia, ada banyak peluang pelaburan yang boleh diceburi untuk menggandakan simpanan.

Sebagai permulaan, boleh mulakan dengan pelaburan berisiko rendah seperti unit manah, deposit tetap atau insurans pelaburan.

Pada masa yang sama, tambah ilmu berkaitan setiap peluang pelaburan yang ada dan pilih yang paling terbaik untuk diri-sendiri.

Sebagai panduan, boleh baca artikel-artikel yang berikut:

#4 – Langsaikan hutang anda

Rancang pembayaran semula hutang anda dengan teliti seperti hutang pendidikan, kad kredit dan pinjaman peribadi supaya anda tiada lagi hutang apabila mencecah umur 30 tahun.

Apabila masuk umur 30 tahun, anda mungkin merancang untuk mengambil pembiayaan pinjaman perumahan pula untuk membeli rumah, jadi amat baik jika pada masa tersebut anda tidak terbeban dengan hutang-hutang lain.

Nanti, rancang juga supaya semua hutang anda dapat diselesaikan sebelum usia persaraan supaya dapat bersara dengan selesa.

Itulah sahaja tips urus wang graduan muda yang dikongsikan oleh pihak RinggitPlus, dengan sedikit ulasan daripada kami di Jom Urus Duit.

Diharapkan artikel kali ini memberi manfaat kepada anda.

Kalau rasa bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini ya.

Berikut merupakan infografik yang disediakan RinggitPlus:

tips urus wang graduan muda

..

Baca juga:  Ebook Pengurusan Kewangan Peribadi Percuma

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini