Dilema Seorang Isteri Urus Harta Pusaka Tinggalan Suami

urus harta pusakaSebagai seorang suami, pernahkah anda terfikir, apa yang akan dialami isteri untuk urus harta pusaka yang anda tinggalkan sekiranya anda mati?

Adakah isteri anda akan dapat gunakan harta pusaka yang anda tinggalkan untuk menyara kehidupannya dan anak-anak anda?

Atau ada waris lain yang akan membolot harta tersebut dan meninggalkan isteri dan anak-anak anda dalam penderitaan?

Pernah terfikir?

Mungkin ada yang menganggap, segala harta yang ditinggalkan nanti, akan diberikan semuanya kepada isteri agar dapat digunakan untuk meneruskan kehidupan dengan anak-anak.

Ada yang beranggapan, takkanlah waris-waris yang lain nak aniaya dan abaikan si isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Lagipun, faraid kan ada, mesti ada bahagian harta pusaka yang akan diberikan kepada isteri dan anak-anak.

Malangnya, realiti kadang-kadang tidak seindah mimpi.

Nak urus harta pusaka, bukan proses yang mudah lebih-lebih lagi jika tanpa wasiat yang menamakan pentadbir.

Banyak prosedur yang perlu dilalui, banyak dokumen yang perlu dilengkapkan sebelum harta pusaka dapat dicairkan dan diagihkan kepada waris-waris.

Itu baru bab prosedur dan dokumen, belum bincang lagi berkenaan masalah dengan waris-waris lain.

Apabila bersangkut paut dengan harta, ramai yang boleh jadi gelap mata dan buta hati; sanggup mengenepikan hukum-hakam dan kebajikan orang lain demi mendapatkan apa yang diingini.

Begitu juga dalam hal urus harta pusaka.

Banyak sudah didengari cerita yang mana si isteri dibiarkan kebingungan seorang diri menguruskan segala prosedur berkaitan pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan si suami.

Ada juga kes si isteri dan anak-anak diabaikan oleh waris-waris lain setelah harta pusaka diperoleh.

Ada juga yang sanggup merebut harta pusaka yang sedikit, yang mana sepatutnya diberikan sahaja kepada si isteri dan anak-anak.

Untuk dapatkan lebih gambaran berkenaan dilema urus harta pusaka ini, saya nak kongsikan satu ‘kisah’ yang dinukilkan rakan saya, Tuan Hanaffi.

Beliau emelkan ‘kisah’ ini kepada saya dan meminta saya untuk menyiarkannya sebagai pengajaran kepada kita semua.

Jom ikuti catatan beliau.

Baca juga:  5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid

ISTERI SAKIT HATI URUS HARTA PUSAKA SUAMI, AKHIRNYA TAK DAPAT SATU SEN PUN!

urus harta pusaka1. Apabila berlaku sesuatu kematian, menjadi kebiasaan adat orang kita untuk mengadakan kenduri arwah sekurang-kurangnya 2 hari berturut-turut. Bayangkan, seorang isteri yang baru kematian suami, demi memenuhi adat ini, terpaksa bersusah-payah mengadakan kenduri dan menjemput kariah masjid dan sanak-saudara yang mengenali si suami. Awal-awal pun dah tak betul.

2. Mujurlah ramai yang datang melawat turut sama menguruskan kenduri tersebut. Terasa ringan beban si isteri. Syukur Alhamdulillah. Betullah orang kata, musibah boleh merapatkan silatulrahim.

3. Selepas 2-3 hari berlalu, adik-beradik si suami datang berjumpa si isteri. Si isteri berasa syukur kerana ipar-duai masih mengambil berat tentang dirinya dan anak-anaknya. Malangnya, kunjungan mereka mereka bukan untuk menziarahi keluarga tersebut, apatah lagi nak mengambil berat tentang mereka. Tetapi, mereka datang dengan niat untuk menuntut harta pusaka peninggalan arwah!

4. Tersentap rasa hati si isteri. Sakit jiwa! Tanah kubur arwah suami masih merah, rasa sedih pun belum hilang lagi. Terasa nak panggil sahaja si suami yang dah mati untuk bincang dengan mereka.

5. Ipar-duai mula bercerita bab faraid. Kata mereka, bahagian isteri hanya 1/8. Mereka terangkan secara panjang lebar. Biasalah, apabila bab harta pusaka, tiba-tiba ramai yang jadi pakar. Maklumlah, nak rebut bahagian masing-masing walaupun dalam banyak situasi, mereka tiada hak pun. Lebih teruk lagi, asyik bercerita tentang hak mereka, tapi kalau suruh jalankan tanggungjawab yang Allah berikan, tak mahu ikut pula.

6. Maka, bermulah drama perebutan harta pusaka si suami yang tiada kesudahan.

7. Si isteri mestilah tidak mahu mengalah. Iyalah, harta pusaka yang ditinggalkan si suami hendak digunakan untuk menyara hidup sendiri dan anak-anak. Nak harapkan waris-waris lain, memang tak boleh nak diharap. Asyik nak rebut bahagian sendiri. Jadi, ditinggalkanlah si isteri yang dipaksa menguruskan harta pusaka sendiri. Akhirnya, walaupun ada masalah kekangan masa, tenaga dan wang, si isteri terpaksa juga urus harta pusaka si suami seorang diri. Nak buat macam mana, fikir nasib anak-anak.

8. Si isteri teringat pesan si suami, duit yang ditinggalkan dalam bank boleh digunakan untuk belanja keperluan. Jadi, si isteri pergilah ke bank, jumpa dengan pegawai bank, minta nak keluarkan duit daripada akaun si suami. Malangnya, akaun si suami dah kena block. Bank minta surat kuasa terlebih dahulu sebelum duit boleh dikeluarkan. Terpinga-pinga si isteri sebab tak tahu prosedur urus harta pusaka. Jadi, terpaksalah tanya tentang prosedur yang perlu dibuat. Mujur ada yang membantu.

9. Dengan perasaan pilu, si isteri terpaksa ke Pejabat Pusaka Kecil di Pejabat Tanah bagi mendapatkan surat kuasa tadbir. Kena isi borang Bicara Kuasa atau Borang A. Maklumat si mati, harta si mati serta maklumat waris-waris si mati; semua maklumat ini perlu dilengkapkan. Salinan IC setiap waris, salinan maklumat harta dan surat pengesahan kematian juga turut diperlukan.

10. Maka, bermulalah satu lagi drama untuk memenuhi semua keperluan ini. Setelah setiap salinan disediakan, si isteri perlu mendapatkan tandatangan setiap ahli waris. Aduh, memang satu masalah. Selagi semua ahli waris tidak turunkan tandatangan, proses perbicaraan harta pusaka tidak boleh dimulakan. Tambah pening, ada ahli waris yang sengaja tidak hadir ke mahkamah untuk melambatkan proses perbicaraan harta pusaka. Sebabnya, tak puas hati dengan si isteri.

11. Tambah parah lagi, si isteri dapat tahu yang adik-beradik suami juga mempunyai hak dalam harta pusaka si suami. Jadi, banyak benda perlu diambil kira. Fuhhh, bukan senang nak urus harta pusaka kalau si mati tidak membuat perancangan harta lebih awal.

12. Tiba-tiba, ayah/ibu si mati pula tidak mahu beri kerjasama akibat termakan hasutan ipar. Bayangkanlah, si isteri terpaksa menghadapi semua masalah ini serentak. Rasa sedih kehilangan suami pun masih belum hilang, nak fikir uruskan anak-anak lagi. Memang cukup stress bagi si isteri untuk uruskan semua perkara ini.

13. Tambah satu lagi masalah. Tiba-tiba, ahli waris yang lain desak si isteri dan anak-anak untuk melepaskan bahagian faraid. Alasan mereka, harta pusaka si suami adalah harta warisan keluarga mereka sahaja.

14. Si isteri juga didesak membayar bahagian faraid bagi rumah jika mahu terus tinggal dirumah pusaka suami. Masalah, mana nak cari RM200K tunai?

15. Akhirnya, akibat tidak tahan lagi, si isteri dan dan anak-anak terpaksa keluar sehelai sepinggang. Biarlah tidak dapat harta pusaka, janji hidup tenang dengan anak-anak.

16. Ingatkan masalah dah selesai, rupanya belum lagi. Baru saja nak mulakan kehidupan baru, tiba-tiba datang seorang hamba Allah mendakwa yang si suami ada berhutang dengannya puluhan ribu ringgit atas urusan bisnes. Masalah lagi, siapa yang kena tanggung hutang si mati? Nak guna harta pusaka si suami untuk bayar hutang, dah dibolot ahli waris lain. Nak suruh mereka bayarkan, jangan harap.

17. Dalam tengah fikir cara nak selesaikan hutang si suami, tiba-tiba teringat pesan suami dulu supaya gunakan duit dalam Tabung Haji / KWSP / ASB / Takaful untuk bayar hutang. Apabila pergi semak, penama atas nama ibu mertua pula. Masalah, sebab dah dihasut ahli waris lain, si ibu mertua tak nak lepaskan duit tersebut. Katanya, sebab dia adalah penama, duit tersebut adalah miliknya. Ini memang kefahaman biasa dalam masyarakat kita. Penama adalah pemilik, walhal ini adalah salah. Sebab malas nak gaduh lagi, akhirnya, si isteri jugalah yang terpaksa bekerja siang malam untuk bayar hutang yang ditinggalkan si suami.

Haa, macam mana?

Nampak bagaimana kesulitan yang boleh dialami untuk urus harta pusaka?

Bayangkan kalau diri anda sendiri yang alami, atau pasangan anda.

Kalau tak buat perancangan pengurusan harta pusaka lebih awal, memang akan menyusahkan waris kita nanti.

Jadi, bagaimana nak mudahkan urusan ini?

Tak mahulah nanti waris yang ditinggalkan menderita nak dapatkan harta pusaka untuk meneruskan kehidupan.

Baca juga:  Pengiraan Asas Pembahagian Faraid Dalam Al-Quran

Ada cara penyelesaiannya.

urus harta pusakaAntara yang boleh dilakukan:

1. Si suami boleh mengisytiharkan sebahagian harta miliknya kepada isteri sebagai harta sepencarian di dalam wasiat. Tak kisah sama ada dalam bentuk rumah, kereta atau wang ringgit. Bukan masalah sikit atau banyak, yang penting isytiharkan sahaja bahagian harta sepencarian tersebut. Senang, terus jadi milik is isteri selepas si suami mati. Kalau dah mati dan si isteri baru nak tuntut harta sepencarian, memang rumit dan panjang cerita. Jadi, lebih baik buat ketika masih hidup.

2. Si suami melantik wasi atau pentadbir yang mahir, adil dan amanah bagi menguruskan kesemua harta miliknya. Tanpa wasi, si isteri akan terpaksa uruskan sendiri harta pusaka yang ditinggalkan. Ini sudah tentu akan menyusahkan pasangan kerana baru kematian suami, nak fikir pasal anak lagi. Jika ada bisnes, nak uruskan bisnes lagi. Tolong jangan rumitkan lagi masalah kepada orang tersayang. Melantik wasi dalam wasiat akan memudahkan pengurusan harta pusaka.

3. Menyerahkan sebahagian harta miliknya melalui hibah sama ada hibah biasa atau hibah bersyarat. Tidak salah untuk buat hibah, jika harta masih berhutang buat hibah bersyarat. Jika hanya ada satu rumah, tidak salah hibahkan kepada orang tersayang (isteri), sekurang-kurangnya ada tempat tinggal untuk pasangan. Harta yang dihibah tidak perlu dibahagikan mengikut faraid, jadi ahli waris lain tidak dapat rebut.

4. Si suami menyediakan hibah tunai sebanyak setahun pendapatan atau lebih bagi menampung kos sara hidup. Maklumlah, dulu gaji 2 orang, tiba-tiba jadi seorang. Bukan mudah untuk lalui pada peringkat awal. Oleh itu, sediakan hibah tunai bagi mengurangkan beban orang yang ditinggalkan.

Lihat, bagaimana perancangan pengurusan harta pusaka yang dilakukan dengan baik akan memudahkan waris yang ditinggalkan nanti.

Si isteri tidak perlu bersusah-payah urus harta pusaka bersendirian. harta dapat ditinggalkan kepada isteri dan anak-anak untuk meneruskan kehidupan, tidak perlu berebut-rebut dengan ahli waris yang lain kerana mereka pun akan dapat bahagian yang akan kita tetapkan nanti.

Jadi, beringat-ingatlah untuk merancang pembahagian harta pusaka semasa masih hidup, ya.

Oh ya, sebelum mengakhiri artikel kali ini, saya nak kongsikan satu ebook percuma untuk anda semua.

Jika berminat, boleh klik pada pautan di bawah untuk muat turun.

Ebook Case Study Sebenar Dilema Pengurusan Hibah & Wasiat.

http://hanaffi.com/ebook-dvd-percuma/

Artikel ini dikongsikan oleh Tuan Hanaffi Idris; boleh ikuti beliau di https://www.facebook.com/hanaffi2017

..

Baca juga:  Sedikit Coretan Tentang Penamaan KWSP

 

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini