Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2016 Untuk e-Filing 2017

pelepasan cukai pendapatan 2016Jika dilihat di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak LHDN baru sahaja mengemaskini senarai pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi individu warganegara/pemastautin Malaysia.

Bermula 01 Mac 2017 nanti, semua individu warganegara/pemastautin Malaysia yang memenuhi syarat dikehendaki menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2016 dengan mengisi e-Filing.

Taksiran 2016 diisi pada tahun 2017, taksiran 2017 akan diisi pada tahun 2018.

Maka, senarai pelepasan cukai pendapatan terbaru ini akan digunakan ketika isi e-Filing nanti, supaya jumlah pendapatan bercukai dapat dan jumlah cukai kena bayar dapat dikurangkan.

Untuk lihat senarai tersebut, boleh ke laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/, klik pada Individu, kemudian klik pada Pelepasan Cukai.

Terdapat 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016 yang disenaraikan, sepertimana yang berikut:

pelepasan cukai pendapatan 2016

Jika diteliti, ada beberapa perubahan berbanding senarai pelepasan cukai tahun-tahun sebelumnya.

Jom kita teliti satu per satu.

Pelepasan #1 – Individu dan saudara tanggungan

Yang ini sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pelepasan ini diberikan kepada semua individu, dan jumlahnya masih sama iaitu RM 9,000

Pelepasan #2 – Penjagaan ibu bapa

Untuk jenis ini, ada sedikit penambahbaikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebelum ini, pelepasan hanya dibenarkan untuk perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibubapa yang mempunyai masalah kesihatan yang disahkan pengamal perubatan sahaja.

Pelepasan ini masih diteruskan untuk tahun 2016, dan jumlahnya juga masih sama iaitu RM 5,000

Tambahan untuk pelepasan cukai pendapatan 2016, pelepasan juga diberikan bagi perbelanjaan menyara ibubapa meskipun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak tinggal bersama-sama.

Inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang mengambil berat berkenaan kebajikan ibubapa mereka dan sokongan kerajaan untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 1,500 bagi ibu (jika bapa telah tiada), RM 1,500 bagi bapa (jika ibu telah tiada) atau RM 3,000 bagi kedua-dua ibubapa (kedua-duanya masih ada)

Walaubagaimanapun, pelepasan ini ada syaratnya iaitu ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Pelepasan #3 – Peralatan sokongan khas

Pelepasan ini hanya khas bagi individu kelainan upaya (OKU) atau untuk suami/isteri, anak atau ibubapa kelainan upaya.

Pelepasan diberikan bagi perolehan atau perbelanjaan peralatan sokongan khas yang dieprlukan dan jumlahnya terhad kepada RM 6,000

Pelepasan #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi individu OKU, mereka mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu di atas (#1)

Baca juga:  Kadar Zakat Fitrah Tahun 1437H 2016M

Pelepasan #5 – Yuran pendidikan sendiri

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi yang sedang melanjutkan pelajaran, berhak untuk menuntut pelepasan yuran pendidikan sendiri.

Walaubagaimanapun, bagi peringkat Sijil, Diploma atau Sarjana Muda, kursus yang layak dihadkan kepada Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi sahaja.

Bagi peringkat Sarjana dan PhD pula, sebarang bidang atau kursus pengajian adalah layak menuntut pelepasan ini.

Bagi yang menerima biasiswa bagi pengajian yang sedang diikuti adalah tidak layak menuntut pelepasan ini.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 7,000 (sebelum ini RM 5,000 sahaja)

Pelepasan #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati

Bagi meringankan beban individu yang mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan penyakit kritikal sama ada melibatkan diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan diberikan sebanyak RM 6,000

Antara penyakit kritikal yang dibenarkan pelepasan adalah kanser, serangan jantung, pulmonary hypertension, sakit buah pinggang kronik, sakit hati (liver/hepatic) kronik, fulminant viral hepatitis, tumor & kecacatan pembuluh darah di otak, melepuh & melecur kebakaran yang keterlaluan, pemindahan organ utama, sindrom Parkinson, HIV & AIDS, pemotongan kaki/tangan, kecederaan kepala akibat kemalangan, penyakit kulit kronik, penyakit mental, diabetes mellitus, talasemia major, rheumatology dan leukemia.

Pelepasan #7 – Pemeriksaan perubatan penuh

Bagi pemeriksaan perubatan penuh untuk diri-sendiri, pasangan atau anak, pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 500 diberikan.

Pelepasan #8 – Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan

Pelepasan sebanyak RM 1,000 diberikan bagi perbelanjaan melibatkan pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan sama ada secara hardcopy atau elektronik.

Perbelanjaan bagi pembelian surat khabar dan bahan bacaan terlarang adalah tidak dibenarkan untuk pelepasan ini.

Pelepasan #9 – Pembelian komputer peribadi untuk individu

Pelepasan ini layak untuk pembelian komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), notebook dan ultrabook, dan tidak layak untuk pembelian tablet, telefon pintar dan komputer hybrid.

Pelepasan ini dibenarkan 3 tahun sekali sahaja, maksudnya jika pernah menuntut pada tahun 2015 atau 2014, maka tidak layak untuk tahun 2016.

Dan jika tuntut pada tahun 2016, maka tidak layak untuk tuntut pada tahun 2017 atau 2018 kelak.

Jumlah pelepasan yang diberikan adalah RM 3,000

Pelepasan #10 – Tabungan bersih dalam skim SSPN

Pelepasan ini melibatkan tabungan bersih dalam skim SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

Tabungan bersih adalah berdasarkan jumlah simpanan sepanjang 2016 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2016 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi tabungan bersih dalam SSPN dihadkan kepada RM 6,000

Pelepasan #11 – Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan

Perbelanjaan bagi pembelian peralatan sukan adalah diberi pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 300

Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah yang tersenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 sahaja; terdapat lebih kurang 39 aktiviti sukan yang tersenarai di bawah akta (boleh lihat senarai lengkap dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)

Pembelian pakaian sukan dan kasut sukan adalah tidak layak untuk pelepasan ini, hanya untuk peralatan sukan.

Pelepasan #12 – Faedah pembelian rumah

Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Untuk syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.

Pelepasan #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada isteri

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi jenis ini ditingkatkan kepada RM 4,000 (sebelum ini adalah RM 3,000)

Jadi, jika mempunyai pasangan (suami/isteri) yang tidak mempunyai pendapatan, boleh menuntut pelepasan ini.

Bayaran alimoni merujuk kepada bayaran nafkah yang diberikan kepada bekas isteri sepertimana yang ditetapkan mahkamah.

Pelepasan #14 – Suami/isteri kelainan upaya

Jika mempunyai dan menjaga suami/isteri kurang upaya, maka diberikan keistimewaan menuntut pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500

Baca juga:  3 Cara Utama Penyucian Harta

Pelepasan #15 – Anak di bawah umur 18 tahun

pelepasan cukai pendapatan 2016Bagi pelepasan cukai pendapatan 2016, jumlah layak tuntut telah ditingkatkan bagi kategori ini.

Jika mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

Tiada had bilangan anak; jika punyai 10 orang anak berumur bawah 18 tahun dan belum berkahwin, maka boleh tuntut atas kesemua mereka.

Jika suami dan isteri isi e-Filing secara berasingan melalui taksiran individu (bukan taksiran bersama), maka setiap seorang layak menuntut RM 1,000 sahaja atas seorang anak (kelayakan 50% dalam e-Filing)

Pelepasan #16 & #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Bagi kategori ini, jumlah pelepasan cukai pendapatan 2016 turut ditingkatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 2,000 seorang.

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas yang belum berkahwin dan sedang mengikuti pengajian peringkat diploma atau ke atas di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (bagi institusi pengajian tinggi luar Malaysia, kursus ijazah atau ke atas sahaja), maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 8,000 seorang.

Pelepasan ini hanya terpakai bagi kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan sahaja.

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #18 – Anak kelainan upaya

Untuk setiap anak kandung kelainan upaya yang dijaga, layak untuk menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 seorang.

Bagi anak kelainan upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan, maka layak menuntut pelepasan tambahan lagi sebanyak RM 8,000

Ini bermakna, sekiranya anak kelainan upaya ini melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya adalah sebanyak RM14,000

Peraturan kelayakan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat taksiran individu/berasingan.

Pelepasan #19 – Insuran/takaful nyawa dan caruman KWSP

Untuk jumlah campuran antara bayaran caruman insuran/takaful nyawa dan KWSP (caruman dari bahagian sendiri), jumlah pelepasan adalah dihadkan kepada RM 6,000

Maksudnya, andaikata anda membayar caruman takaful nyawa sebanyak RM 3,000 setahun dan KWSP sebanyak RM 5,000 setahun, maka anda hanya layak menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja.

Pelepasan #20 – Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda

Jika ada menyimpan dengan Skim Persaraan Swasta (Private Retrement Scheme, PRS) atau mencarum Anuiti Tertunda (skim insurans/takaful persaraan), maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Dengan syarat, skim yang disertai adalah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pelepasan #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Bagi caruman sebarang skim insurans/takaful pendidikan atau perubatan, maka layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Ini adalah kategori baru bagi pelepasan cukai pendapatan 2016.

Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak mendapat pelepasan cukai sebanyak RM 250

Peringatan penting

Itulah sahaja 22 jenis atau kategori pelepasan cukai pendapatan 2016.

Salah satu cara untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar adalah dengan mengoptimasikan tuntutan atas pelepasan-pelepasan yang layak.

Maka, amatlah penting untuk mengetahui dan memahami setiap jenis pelepasan cukai pendapatan yang dibenarkan.

Namun ingat, pastikan tuntut bagi pelepasan yang betul-betul layak dan sah sahaja.

Pastikan juga anda menyimpan resit perbelanjaan dan dokumen yang betul bagi setiap pelepasan yang dituntut.

Pihak LHDN berhak untuk membuat audit ke atas setiap borang taksiran yang dihantar dan meminta resit atau dokumen sebagai bukti ke atas maklumat-maklumat yang dinyatakan dalam borang taksiran tersebut.

Jika terdapat kesalahan atau dokumen tidak diterima, maka LHDN akan mengira semula jumlah cukai kena bayar dan menuntut bayaran selebehinya daripada anda.

Saya pernah diaudit oelh LHDN beberapa tahun lepas, syukur tiada apa-apa masalah.

Manalah tahu tahun ini giliran anda pula.

Akhir kata, selamat mengisi e-Filing!

Baca juga:  10 Jenis Zakat Harta Yang Mesti Diketahui

14 Comments

  1. cheah

    Jika ada derma kepada badan pertubuhan seperti MAKNA, di mana perlu kita isi?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Untuk derma, boleh diisi pada bahagian kedua, iaitu pada bahagian Pendapatan Berkanun, Jumalah Pendapatan etc, ada satu ruangan untuk Jumlah Derma dan Hadiah Yang Diluluskan. Boleh isi di situ.

      Reply
  2. Abdullah

    Pemberian kepada ibubapa… adakah memerlukan resit atau apa2 penyata… macam mana kalau kita hnya bagi by hand…

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Oleh kerana ini adalah pelepasan yang baru diwujudkan pada tahun ini, maka masih kabur lagi bagaimana pihak LHDN akan membuat semakan/audit untuk pelepasan ini. Pada pendapat saya, mungkin resit atau penyata tidak diperlukan, tetapi bukti untuk menyokong status ibubapa kandung (seperti surat beranak) dan jumlah pendapatan ibubapa (penyata pendapatan ibubapa) mungkin diperlukan jika pihak LHDN nak melakukan semakan.

      Reply
  3. Last Minit E Filing 2017

    Jikalau bapa meninggal, manakala Ibu dalam keadaan sakit kanser yang telah disahkan oleh pengamal perubatan, adakah saya layak membuat tuntutan RM 5000? Tanpa resit?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Mengikut NotaBE yang dikeluarkan pihak LHDN:

      PERBELANJAAN RAWATAN PERUBATAN, KEPERLUAN KHAS DAN PENJAGA IBU BAPA

      Perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga ibu bapa dibenarkan sebagai potongan terhad kepada RM5,000. Perenggan 46(1)(c) ACP 1967. Perbelanjaan perubatan yang layak termasuk:
      (i) rawatan perubatan dan penjagaan yang diperuntukkan oleh rumah penjagaan; dan
      (ii) rawatan pergigian dihadkan kepada mencabut gigi, menampal gigi, membersihkan karang gigi tetapi tidak termasuk rawatan kosmetik.

      Tuntutan mestilah disokong oleh pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia yang mengesahkan bahawa keadaan kesihatan ibu bapa memerlukan rawatan perubatan atau keperluan khas atau
      penjaga.

      Ibu bapa mestilah bermastautin di Malaysia.

      Rawatan perubatan dan perkhidmatan penjaga disediakan dalam Malaysia.

      Dalam kes penjaga, mestilah dibuktikan dengan perakuan bertulis, resit atau salinan permit kerja penjaga.

      “Penjaga” tidak termasuk individu, suami / isteri atau anak individu berkenaan.

      Berdasarkan kenyataan ini, jika memang ada mengeluarkan perbelanjaan untuk rawatan kesihatan ibu atau bapa atau kedua-duanya, maka layak menuntut pelepasan sehingga RM 5,000

      Perbelanjaan tersebut mestilah yang dilakukan pada tahun 2016.

      Resit diperlukan sebagai bukti jika diaudit oleh LHDN.

      Reply
  4. Lupa e filing

    Sekiranya, isteri saya tidak bekerja selama 6 bulan, boleh saya claim isteri tidak berpendapatan sebanyak RM2000?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas pertanyaan.

      Jika rujuk NotaBE, syarat bagi pelepasan suami/isteri adalah seperti berikut:
      Pelepasan suami diberi sebanyak RM4,000 bagi suami yang tiada punca pendapatan / tiada jumlah pendapatan atau suami memilih taksiran bersama, atau
      Pelepasan isteri diberi sebanyak RM4,000 bagi isteri yang tinggal bersama dalam tahun asas, isteri tiada punca pendapatan / tiada jumlah pendapatan atau isteri memilih taksiran bersama.

      Bagi soalan Tuan, sekiranya isteri Tuan semasa tahun 2016 bekerja 6 bulan sahaja dan pendapatannya tidak mencapai jumlah minimum RM 34,000/tahun (selepas potongan KWSP), maka Tuan boleh claim pelepasan ke atas isteri Tuan sebanyak RM 4,000 kerana isteri Tuan tidak perlu/layak memfailkan cukai pendapatan.

      Tetapi, jika pendapatan 6 bulan isteri Tuan adalah lebih RM 34,000 (selepas potongan KWSP), maka Tuan tidak layak menuntut pelepasan tersebut, kecuali jika dibuat taksiran bersama (joint assessment)

      Reply
  5. petrina lim

    adakah bayaran gst dianggap sebagai company expenses bila membuat pengiraan untuk Borang B

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Hi Petrina Lim!

      Terima kasih atas pertanyaan.

      Tetapi maaf, saya agak kurang tahu berkenaan cukai korporat atau perniagaan. Sebaik-baiknya bertanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Boleh hubungi LHDN di 1-800-88-5436 atau pergi ke mana-mana pejabat LHDN berdekatan.

      Reply
  6. Faizal

    semasa LHDN menyemak resit, adakah mereka menerima resit2 fotostat atau yang ditangkap gambar? Resit asal dah tak nampak/pudar.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi bertanya.

      Saya sendiri pernah diaudit oleh pihak LHDN. Mereka menghantar surat meminta saya menghantar penyata pendapatan dan resit-resit perbelanjaan bagi pelepasan dan rebat cukai yang saya tuntut. Semua dokumen perlu diposkan kembali kepada mereka atau dihantar ke kaunter LHDN berdekatan.

      Apa yang saya buat, saya hanya hantar salinan fotostat semua dokumen yang diminta melalui pos. Alhamdulillah, pihak LHDN terima dan tidak meminta dokumen asal. Walaubagaimanapun, dokumen asal tetap saya simpan sebagai persediaan jika pihak LHDN minta sekali lagi.

      Reply
  7. bertanya

    tuan nk tanya.. pembelian petrol kenderaan termasuk dlm pelepesan?

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Setahu saya, untuk cukai pendapatan individu, tiada pelepasan cukai untuk pembelian petrol kenderaan.

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini