Panduan Pelaburan Saham: Cara Buka Akaun CDS & Trading

cara buka akaun cds tradingRamai yang berminat nak mulakan pelaburan saham, tetapi ramai yang masih tersekat pada langkah pertama kerana tidak tahu cara buka akaun CDS (Central Depository Service @ depositori pusat) dan trading (perdagangan @ jual-beli)

Tanpa akaun CDS dan trading, memang mustahil untuk mulakan pelaburan saham.

Sebab itulah ada orang kata, jangan sembang lebat pasal pelaburan saham kalau akaun CDS dan trading pun tiada lagi.

Jadi, nak melabur saham, kenalah buka akaun CDS dan trading terlebih dahulu.

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan cara buka akaun CDS dan trading, mari berkenalan dahulu dengan kedua-dua akaun ini.

Central Depository Service (CDS) Account @ Akaun Depositori Pusat

Akaun CDS adalah akaun yang dibuka dengan Bursa Malaysia dan merupakan tempat menyimpan saham-saham yang dibeli.

Akaun CDS boleh dibuka oleh individu berumur 18 tahun ke atas dan juga oleh syarikat, persatuan, pemegang amanah dan badan berkanun.

Kalau dulu, apabila membeli saham, pelabur akan diberi sijil yang mengandungi maklumat berkaitan saham-saham yang dibeli.

Sekarang, sijil sudah tidak wujud lagi, sebaliknya semua maklumat disimpan secara elektronik menerusi akaun CDS.

Secara umumnya, akaun CDS boleh dibahagikan kepada dua jenis; direct (terus) dan nominee (penama)

Jika membuka akaun CDS direct, nama pelabur akan terus dicatatkan pada akaun tersebut.

Dengan akaun CDS direct, dividen daripada syarikat yang dibeli akan terus dimasukkan ke dalam akaun pelabur dan pelabur boleh menghadiri mesyuarat tahunan (Annual General Meeting, AGM) yang dianjurkan syarikat tersebut.

Pelabur juga boleh terus membeli kaunter IPO (Initial Public Offering, Tawaran Permulaan Awam), yang mana merupakan kaunter-kaunter yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia.

Akaun CDS nominee pula tidak mencatatkan nama pelabur sebagai pemilik akaun, sebaliknya nama syarikat broker yang dilantik sebagai penama.

Dividen yang diberikan syarikat tidak akan dimasukkan terus ke akaun pelabur, sebaliknya akan diuruskan oleh syarikat nominee dengan mengenakan caj tertentu.

Akaun CDS nominee tidak membolehkan pemilik sebenar akaun menghadiri AGM syarikat secara terus, sebaliknya perlu memohon keizinan syarikat nominee.

IPO juga tidak boleh dibeli melalui akaun CDS nominee.

Walaupun banyak kekurangan, kenapa akaun CDS nominee diwujudkan?

Ini apa yang saya tahu; kebanyakan orang kaya yang ingin ‘menyembunyikan’ kekayaan mereka akan menggunakan akaun CDS nominee untuk menyimpan saham-saham mereka.

Saham-saham tersebut akan diletakkan atas nama syarikat penama, bukannya secara terus atas nama mereka.

Lagipun, seorang pelabur individu dibenarkan membuka hanya satu akaun CDS di bawah namanya (akaun CDS direct), tetapi boleh membuka beberapa akaun CDS lain di bawah nama syarikat penama (akaun CDS nominee)

Jika nak buka akaun CDS direct lebih dari satu akaun, kena buka dengan syarikat broker yang berasingan.

Tambahan lagi, pelabur atau spekulator yang ingin menggunakan kemudahan collateral atau margin yang lebih berisiko untuk mendapatkan keuntungan segera perlu menggunakan akaun CDS nominee.

Baca juga:  6 Tips Penting Beli Rumah Subsale Secondhand

cara buka akaun cds tradingTrading Account @ Akaun Perdagangan/Jual-beli

Akaun trading dibuka dengan syarikat broker, dan merupakan akaun yang digunakan untuk berjual-beli saham.

Modal akan dimasukkan ke dalam akaun trading terlebih dahulu, kemudian duit tersebut digunakan untuk membeli saham dan maklumat saham yang dibeli akan disimpan menerusi akaun CDS.

Apabila saham yang dibeli tadi dijual, hasil jualan akan dimasukkan semula ke dalam akaun trading; itulah fungsi asas akaun trading.

Akaun trading boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya adalah:

#1 Akaun tunai (cash upfront)

Pelabur perlu memasukkan dahulu duit ke dalam akaun ini sebelum membeli mana-mana saham, dan jumlah unit saham yang boleh dibeli dihadkan kepada jumlah duit yang ada sahaja.

Bayaran untuk pembelian saham dilakukan serta-merta dengan menolak baki duit yang ada.

Kelebihan akaun ini adalah yuran yang lebih murah dan risiko lebih rendah kerana anda dihadkan membeli unit saham mengikut baki duit yang ada sahaja.

#2 Akaun cagaran (collateral)

Akaun ini membenarkan pelabur membeli lebih daripada jumlah duit yang ada dalam akaun trading tersebut, contohnya 2 kali ganda daripada baki.

Sebagai contoh, katakanlah baki dalam akaun trading collateral ada sebanyak RM 1,000, maka pelabur dibenarkan membeli unit saham sehingga RM 2,000

Jumlah pembelian yang melebihi jumlah baki duit perlu ditambah dalam masa T+3 (trading day + 3 hari)

Contohnya duit dalam akaun RM 1,000 tetapi saham dibeli berjumlah RM 1,700, maka lebihan RM 700 perlu ditambah dalam masa T+3.

Jika tambahan tidak dilakukan, forced selling boleh berlaku; saham yang dibeli akan dijual-paksa untuk menampung tambahan tersebut walaupun harga saham tengah rugi.

#3 Akaun margin (financing)

Akaun ini membenarkan pelabur membuat financing (pinjaman) dengan menggunakan nilai saham sedia ada sebagai cagaran dan membeli saham lain mengikut jumlah margin yang ditetapkan.

Sebagai contoh, nilai saham yang telah sedia ada dimiliki berjumlah RM 50,000, dan margin yang diberikan adalah 60%, maka pelabur boleh membeli tambahan nilai saham sebanyak RM 30,000.

Yang bahayanya menggunakan hutang untuk membeli saham melalui akaun margin ini adalah margin call, apabila syarikat broker meminta untuk mengekalkan margin ketika harga saham jatuh.

Dalam contoh tadi, sekiranya nilai saham sedia ada yang digunakan sebagai cagaran jatuh kepada nilai RM 40,000, maka jumlah margin adalah 60% x RM 40,000 = RM 24,000; ada beza sebanyak RM 6,000 daripada nilai margin asal RM 30,000

Maka, untuk menjawab margin call, pelabur sama ada perlu menambah RM 6,000 secara tunai, atau menjual saham sedia ada (yang sedang rugi) untuk menampung margin call tersebut.

Sebab itulah, melakukan pelaburan saham secara hutang sama ada melalui collateral atau margin adalah lebih berisiko.

Jadi, bagi pelabur biasa, lebih baik buat pelaburan secara tunai sahaja.

Satu perkara lagi yang perlu dipertimbangkan tentang adalah sama ada nak buka akaun patuh syariah atau akaun konvensional.

Akaun patuh syariah memastikan pelabur hanya terlibat dengan urusan dan saham patuh syariah sahaja, kerana tidak dibenarkan membeli saham berstatus tidak patuh syariah.

Jika memiliki akaun konvensional pula, boleh membeli kedua-dua jenis saham patuh syariah dan tidak patuh syariah, tetapi jika tidak berhati-hati, boleh tersalah terlibat dalam urusan berkaitan riba.

Contohnya, jika membuat financing atau margin dengan akaun konvensional, sudah semestinya terlibat dengan riba walaupun membeli saham patuh syariah.

Kedua-dua akaun konvensional dan patuh-syariah ada kelebihan dan kekurangannya, nanti boleh tanya pada remisier/dealer yang anda berurusan.

Itulah serba sedikit penerangan berkenaan akaun CDS dan trading secara umum, kalau nak lebih banyak maklumat, kenalah tanya remisier/dealer yang akan dijumpai apabila buka akaun CDS dan trading nanti.

Apabila dah jelas tentang jenis-jenis akaun CDS dan trading, jadi nanti apabila nak buka kedua-duanya, digalakkan buka akaun CDS direct dan akaun trading tunai (cash)

Cara buka akaun CDS dan trading

Sekarang kita pergi ke topik sebenar artikel ini, iaitu cara buka akaun CDS dan trading bagi memulakan pelaburan saham.

Saya akan ceritakan berdasarkan pengalaman saya membuka kedua-dua akaun tersebut sebelum ini.

Untuk buka akaun CDS dan trading, boleh ikut langkah-langkah yang berikut:

Langkah #1 Kenalpasti syarikat broker

Akaun CDS dan trading perlu dibuka melalui syarikat-syarikat broker yang sah, yang mana akan melantik remisier atau dealer untuk berurusan dengan bakal pelabur.

Senarai syarikat-syarikat broker yang sah boleh dilihat di laman web Bursa Malaysia di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/securities/equities/brokers/list-of-participating-organisations

cara buka akaun cds trading

Jika nak kenalpasti syarikat-syarikat broker yang menawarkan akaun dan perkhidmatan patuh-syariah, boleh lihat di sini: http://www.bursamalaysia.com/market/islamic-markets/products/bursa-malaysia-i

Sehingga tahun 2017 ini, terdapat 11 buah syarikat yang menawarkan akaun dan perkhidmatan patuh-syariah sama ada full-fledged atau window basis.

cara buka akaun cds trading

Pilih syarikat broker yang berkenan di hati (contoh dulu saya pilih Maybank Investment Bank, sebab dah ada akaun simpanan Maybank dan Maybank2u, maka urusan akan lebih mudah)

Baca juga:  Prestasi Pelaburan Unit Amanah 2016: Dana Apa Yang Terbaik?

Langkah #2 Dapatkan maklumat berkenaan syarikat broker

Selepas kenalpasti syarikat broker yang berkenan di hati, kenalah dapatkan maklumat selanjutnya terutama lokasi dan nombor telefon.

Boleh dapatkan alamat cawangan-cawangan syarikat broker di laman web Bursa Malaysia, sepertimana pautan yang diberikan di atas.

Boleh pilih mengikut nama syarikat, ataupun nama negeri.

Tetapi, bagaimana pula kalau cawangan-cawangan syarikat broker tersebut terletak jauh daripada tempat tinggal kita?

Contohnya, cawangan-cawangan Maybank Investment Bank hanya terdapat di Kuala Lumpur, Selangor (Klang, Petaling Jaya), Perak (Ipoh), Negeri Sembilan (Seremban) dan Pulau Pinang (Penang)

Bagaimana orang di negeri-negeri lain nak buka akaun CDS dan trading dengan Maybank Investment Bank?

Jangan risau, sesetengah syarikat broker mempunyai share investment/trading center di cawangan-cawangan bank mereka seperti Maybank dan CIMB.

Boleh google dan cari laman web syarikat broker tersebut untuk lihat alamat share investment/trading center yang berdekatan, contohnya di laman web Maybank Investment (Locate us – http://www.maybank2u.com.my/Investment-bank/en/contact-support/locate-branches.page?) dan iTrade@CIMB (Locator – https://www.itradecimb.com.my/index.php?tpl=locator&tpt=itrade2)

Boleh juga telefon ke ibu pejabat syarikat broker tersebut dan tanya di mana cawangan bank yang menjadi share investment/trading center atau mempunyai remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.

Langkah #3 Berjumpa dengan remisier/dealer

Selepas dapat kenalpasti lokasi syarikat broker atau share invenstment/trading center, bolehlah pergi ke sana berjumpa dengan remisier/dealer untuk buka akaun CDS dan trading.

Sebelum pergi, boleh telefon dulu untuk buat temu janji agar nanti ada remisier/dealer yang sedia melayan anda.

Jika tak buat temujanji dan nak terus terjah pun tidak mengapa, cumanya dibimbangi remisier/dealer di tempat yang ingin dituju tersebut bercuti atau ada urusan lain, jadi nanti tak dapatlah nak buka akaun CDS dan trading.

Kalau pergi ke pejabat cawangan syarikat broker mungkin tiada masalah sebab terdapat ramai remisier/dealer, tetapi jika ke share investment/trading center, remisier/dealer yang ada mungkin tak ramai.

Jika ke share investment/trading center, perlu tahu yang biasanya remisier/dealer tidak berada di kaunter tempat buka akaun simpanan atau urusan bank biasa.

Jadi, di kaunter pertanyaan, bolehlah bagitahu yang anda nak buka akaun CDS dan trading, nanti kakitangan di situ akan tunjukkan arah untuk jumpa remisier/dealer, mungkin perlu masuk ikut pintu masuk lain atau naik ke tingkat atas.

Langkah #4 Buka akaun CDS dan trading

Apabila dah jumpa remisier/dealer, bolehlah mula buka akaun CDS dan trading.

Ikut pengalaman saya, remisier yang saya jumpa dulu berikan sedikit penerangan berkenaan pelaburan saham, akaun CDS dan akaun trading terlebih dahulu.

Kalau ada apa-apa persoalan, boleh terus tanya pada remisier/dealer yang dijumpai.

Untuk buka akaun CDS dan trading, kena bawa salinan kad pengenalan, penyata bank dan bayaran RM 10.60 (berserta GST 6%)

Selepas isi beberapa borang, serahkan dokumen dan beri bayaran yang diperlukan, maka hampir selesailah urusan buka akaun CDS dan trading.

Yang tinggal, hanya perlu tunggu akaun CDS disahkan oleh Bursa Malaysia dan pengaktifan di online trading platform.

Jangan risau, remisier/dealer akan terangkan langkah-langkah untuk mengaktifkan akaun online trading platform.

Pengesahan akaun CDS dan trading mungkin mengambil masa beberapa hari bekerja, biasanya tidak melebihi 7 hari.

Selepas akaun CDS dan trading disahkan, bolehlah aktifkan online trading platform.

Langkah #5 Mulakan pelaburan saham

Selepas pengaktifan online trading platform, sekarang bolehlah mulakan pelaburan saham.

Oleh kerana tadi buka akaun trading tunai, maka perlulah letakkan dahulu duit dalam akaun trading sebagai modal.

Boleh tanya remisier/dealer bagaimana cara untuk masukkan duit ke dalam akaun trading.

Macam saya, oleh kerana saya buka akaun trading dengan Maybank Investment Berhad, maka saya boleh gunakan Maybank2u untuk pindahkan duit daripada akaun simpanan biasa ke akaun trading.

Apabila modal dah ada dalam akaun trading, bolehlah beli kaunter saham yang dikehendaki.

Ingat, jual beli saham hanya boleh dilakukan ketika hari (Isnin – Jumaat, kecuali cuti umum) dan waktu bekerja (8.30 pagi – 4.30 petang, kecuali waktu rehat tengahari 12.30 – 2.00 petang) sahaja.

Biasa-biasakan diri menggunakan online trading platform; kenalpasti nama kaunter, kod kaunter, harga jual dan harga beli.

Kalau tak pandai nak gunakan online trading platform, boleh minta tunjuk ajar daripada remisier/dealer.

Selamat melabur!

p/s: Untuk lebih banyak artikel berkaitan pelaburan saham dalam blog ini, boleh klik di sini: Panduan Pelaburan Saham

p/p/s: Kalau nak panduan lengkap untuk yang baru mula pelaburan saham, daripada yang asas hingga kepada cara memilih kaunter terbaik berasaskan teknik fundamental, boleh dapatkan panduan ini: Combo Ebook Saham 101 & 201

combo ebook saham(Baca review & kandungan Combo Ebook Saham di sini)

Untuk yang dah ada pengetahuan asas dan sedikit pengalaman dalam pelaburan saham, tetapi masih kurang menjana keuntungan, mungkin boleh dapatkan ebook Panduan Sistem Saham.

Ebook ini khas untuk orang yang dah ada pengalaman dalam pelaburan saham dan akan tunjukkan cara buat pelaburan saham menggunakan analisis teknikal (baca pergerakan carta)

sistemsaham1

..

Baca juga:  Kenali Skim Pelaburan Tipu Agar Tidak Mudah Terpedaya

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

46 Comments

  1. Syar

    Terima kasih di atas ilmu dan info yg dikongsikan tuan

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Sama-sama 🙂

      Reply
      1. Meor Mohd Jamil Bin Zaiyan

        boleh ker saya pakai akaun CIMB untuk buka akaun CDS di Maybank

        Reply
        1. izzuddinjaaffar (Post author)

          Maaf Tuan, saya pun kurang pasti dengan perkara ini. Apa yang saya tahu, kalau nak buka akaun CDS dengan Maybank, kena ada akaun maybank2u. Jadi, perlu ada akaun simpanan atau semasa Maybank.

          Apa-apa pun, untuk maklumat sahih, Tuan boleh bertanya ke bank.

          Reply
  2. nurhidayu

    Askum,hai saya ayu,boleh saya tahu cara nak keluarkan duit cds ke akaun saving?saya guna maybank.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wa’alaikummussalam Cik Ayu. terima aksih atas pertanyaan Cik.

      Cuma, ada sedikit pembetulan ke atas soalan Cik. Akaun CDS adalah akaun menyimpan unit saham. Selepas saham dijual, hasil jualan akan dipindahkan semula ke akaun trading. Jika Cik masih nak gunakan hasil jualan tersebut untuk beli saham lain, maka tak perlu keluarkan duit dari akaun trading ke akaun simpanan. Boleh terus gunakan duit tersebut untuk beli saham lain.

      Tetapi, jika dah tak nak beli saham lain, maka boleh keluarkan duit dari akaun trading ke akaun simpanan. Saya sendiri pun tidak pernah keluarkan duit dari akaun trading, tetapi sepengetahuan saya, kita tidak boleh keluarkan/withdraw/pindahkan/transfer duit dari akaun trading ke akaun simpanan secara terus/direct melalui Maybank2u. Sebaliknya, kena minta tolong dealer/remisier untuk uruskan. Jadi, Cik kena contact balik remisier/dealer yang Cik berurusan semasa buka akaun CDS dan trading dulu.

      Reply
      1. helmi

        saya pun menghadapi masalah yang sama. ada no tel PIC untuk maybank?…terima kasih

        Reply
        1. izzuddinjaaffar (Post author)
      2. helmi

        tuan, perkara ini terjadi sebab….katakan kita transfer duit saving ke CDS rm10,000.00. selepas beberapa hari, saya beli saham berjumlah rm 7000.00….bermakna ada lebihan rm3000.00….Rm3000.00 ini, saya mahu masuk kan semula ke acct saving.

        Reply
        1. izzuddinjaaffar (Post author)

          Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

          Maksud Tuan, nak pindahkan duit lebihan daripada akaun trading ke akaun simpanan ke?

          Setahu saya, perkara ini tidak boleh dilakukan secara online atau menerusi Maybank2u. Tuan perlu dapatkan bantuan daripada remisier atau delaler yang Tuan jumpa masa buka akaun CDS dan trading dulu. Atau berkunjung sahaja ke mana-mana cawangan Maybank yang terdekat.

          Mungkin perlu isi borang permohonan pengeluaran. Selepas borang diisi dan diluluskan, cek akan dikeluarkan.

          Begitulah biasanya proses untuk keluarkan duit daripada akaun trading.

          Terima kasih.

          Reply
  3. syah

    salam en ,saya xfaham tentang remisier dan dealer dan kalau saya ke kaunter perlu ke saya memilih untuk berjumpa remisier atau dealer

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wa’alaikummussalam. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Yang bezakan remisier dan dealer adalah dari segi pendapatan mereka. Remisier mendapat pendapatan berdasarkan komisen daripada setiap transaksi jual-beli saham. Manakala dealer pula pendapatan mereka adalah tetap, dibayar oleh syarikat broker. Tetapi, fungsi dan peranan mereka adalah hampir sama.

      Jadi, kalau ke kaunter, cuma beritahu sahaja nak buka akaun CDS dan trading. Tak perlu pun nak pilih nak jumpa dealer atau remisier. Kecuali kalau Tuan memang kenal mana-mana dealer atau remisier, dan betul-betul nak kepada khidmat mereka, maka bolehlah bagitahu nak jumpa dealer atau remisier tersebut secara spesifik.

      Reply
  4. Naziman Azlye

    Terima kasih tuan. Penerangan yang terperinci. Saya pun baru nak buka akaun CDS. Cuma saya ada 1 persoalan yang masih tak jumpa lagi. Kalau macam kes saya belum ada kerja tetap, tiada slip gaji tapi ada pendapatan perniagaan kecil-kecilan yang juga tak menentu, boleh tak buka akaun? Harap tuan boleh bantu jika tuan tahu atau ada pengalaman kes seperti ini.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Tiada masalah untuk buka akaun CDS dan trading walaupun tiada slip gaji. Ini bukan nak buat loan, tapi nak buka akaun untuk pelaburan. Lagipun kos untuk buka akaun-akaun ini tidaklah tinggi. Asalkan Tuan ada modal untuk dilaburkan, tiada masalah untuk buka kedua-dua akaun ini.

      Reply
  5. Eht Meth

    Salam Tuan..
    UOB Kay Hian bukan broker patuh syariah ye.. klau mngikut link tn bg.. xde list UOB..
    Sebab sy bru dftr je UOB..
    minta pnadangan tuan syarikat broker yg baik dr sudut sistem dan syariah?
    Trima Kasih tuan

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Ya, UOB tidak termasuk dalam syarikat broker yang menawarkan perkhidmatan/akaun patuh-syariah. Untuk yang terkini, Tuan boleh rujuk di sini http://www.bursamalaysia.com/market/islamic-markets/products/bursa-malaysia-i/

      Susah juga nak tentukan yang terbaik, sebab bergantung kepada bakal pelabur sendiri. Dan perkhidmatan yang ditawarkan pun lebih kurang sama sahaja. Tuan boleh pilih mana-mana yang Tuan rasakan paling memudahkan Tuan.

      Reply
  6. mohamad

    salam tuan sy mohamad dari muar saya baru buka akaun cds dan trading daripada cimb bank invesment. soalan saya.. perlukah saya memberitahu atau memaklumkan pada pihak cimb invesment bank setiap kali sy nak buat deposit online ke akaun trading sy. kedua adakah setiap kali market close (hari ahad) limit dalam akaun trading pun akan jadi kosong. terima kasih tuan andai sudi menjawab soalan saya. baru pertama kali ada akaun cds dan trading.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wsalam. Pengalaman saya dengan Maybank Investment, tak perlu maklumkan pun kalau nak deposit online ke akaun trading. Dan akaun trading pun tidak jadi kosong pada hari market close.

      Saya rasa, begitu juga dengan mana-mana akaun dengan mana-mana syarikat broker termasuk CIMB Investment.

      Reply
      1. mohamad

        terima kasih tuan atas info

        Reply
  7. Suryani Mohd Sapuan

    Assalam tuan, saya nk tanya macam mana nak jual saham kalau angka saham tersebut bukan dalam nilai ratus. contoh saya ada saham berjumlah 82333. saya nak jual semua jumlah tersebut. kalau kita nak jual saham = (Q x 100). Jadi berapa sepatutnya saya tulis untuk Q tersebut? biasa kita akan masukkan 82333/ 100 = 823 kan.. bagaimana dengan baki 33 tu? ia masih kekal dlm kaunter sedangkan saya nak close terus. Tq

    Harap tuan faham soalan saya..:) tq

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Wsalam. Ya, untuk jual unit saham pun perlu dalam lot, iaitu Q x 100. Kalau nak tutup terus, mungkin Cik perlu dapatkan bantuan daripada remisier/dealer.

      Reply
  8. niley11

    Terima kasih utk tips2 ini…..

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

      Reply
  9. Rafidah

    Assalamualaikum,sya belum ade akaun cds.tak pernah terlibat dgn saham.masih tengah cari2 ilmu untuk permulaan.doalan saya,berapa jumlah wang minimum perlu ade dlm akaun tuk beli mane2 saham?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Untuk buka akaun CDS dan trading, hanya perlu bayar RM 10.60. Untuk mula beli kaunter saham, bergantung kepada harga seunit saham tersebut dan bilangan unit yang nak dibeli. Minimum unit perlu dibeli adalah 100 unit. Contohnya harga saham RM 1.50 seunit, maka minimum belian 100 unit = RM 300. Saya ada tulis tentang modal pelaburan saham, boleh rujuk di sini : Berapa Modal Pelaburan Saham?

      Reply
  10. sarah

    Assalam tuan…minta maaf mohon bertanya…sy newbie..sy cuma nk tnye..mcmmne kita nk withdraw profit?contoh sy jual saham semlm…then ada profit Rmxxxx..so sy nk kuarkan profit sahaja..mcm mne caranya yer…sy guna maybank investment (cds direct)…

    sy ada bce komen2 di ats..cuma masih xfaham..adakah bila kita jual saham semalam..then kita perlu tggu 1/2 hari utk dia masuk dlm acc trading..?adakah dia automatic masuk dlm acc trading atau kita kene request utk withdraw?

    harap faham soalan 🙂

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Selepas sah dijual saham yang dimiliki, memang perlu tunggu beberapa hari untuk hasil jualan tersebut dimasukkan ke dalam akaun trading. Untuk withdraw daripada akaun trading, boleh dapatkan bantuan remisier/dealer; kena buat permohonan.

      Reply
  11. abu

    kalo itrade cimb.. automatic akan masuk akaun register (simpanan/semasa).. 3-4 hari selepas jual saham kita

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Oo, begitu ye. Terima kasih atas perkongsian Tuan 🙂

      Reply
    2. Shamil

      Macam mana check ye tuan? Sy punya baki akaun saving tak masuk pun yg itrade punya

      Reply
      1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

        Semak melalui platform online akaun trading.

        Reply
  12. hasif

    salam.. saya ada sedikit pertanyaan tentang akaun cds.
    cth dalam akaun cds nominess saya ada 1000. saya beli saham bernilai 300. simpan lebih seminggu. kemudian system akan tolak dari akaun cds jumlah 300 selepas beberapa hari . baki tinggal 700.
    katakan lepas seminggu saya jual semula saham tersebut. bilakah hasil duit dr hasil jualan saham tersebut akan dipindah masuk ke dalam akaun cds?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Biasanya ambil masa lebih kurang T+3 hari bekerja.

      Reply
  13. Azhan

    Saya pernah membeli saham yg beri oleh syarikat ( pink form) dan saya hilang document berkaitan. Macam mana saya nak trace balik saham tersebut dan ingin menjualnya.

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Boleh dapatkan bantuan Bursa Malaysia atau syarikat broker.

      Reply
  14. jesmandi

    Assalam Tuan, Boleh tak IPo dibeli semasa cuti umum menggunakan maybank2u?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Setahu saya, boleh sahaja. Tapi akan status pending. Lagipun, pembelian IPO adalah seperti menghantar borang permohonan pembelian. Apabila diluluskan, baharulah bahagian saham yang dipohon disahkan pembelian.

      Reply
    2. Shamil

      Assalamualaikum tuan. Sy nak tanya macam mana cara untuk saya semak baki wang investment sy di dalam akaun trading saya? Boleh kah semak dengan menggunakan cimbclick?

      Reply
      1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

        Wsalam. Boleh semak melalui platform online akaun trading yang Tuan buka. Kalau CIMB, setahu saya i-Trade CIMB

        Reply
  15. Hafiz Othman

    Berapa lama proses nak buka acc cds ni?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Bergantung kepada syarikat broker. Ada yang cepat, ada yang lambat sikit. Ikut pengalaman, paling lama pun sekitar 1 minggu.

      Reply
  16. Pingback: Cara Buka Akaun CDS – iLabur

  17. Baizura

    Terima kasih untuk ilmu yg tuan kongsikan. Untuk setiap urusan jual beli, adakah dikenakan sebarang charge/komisen?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Sama-sama :). Ya, untuk jualbeli saham, ada caj yang dikenakan. Boleh rujuk di sini: Berapa Modal Beli Saham

      Reply
  18. shahril rifin

    salam tuan boleh ke sy buka akaun cds dekat cimb bank?

    Reply
    1. Izzuddin Jaaffar (Post author)

      Wsalam. Kalau di cimb tu ada remisier/dealer, boleh sahaja.

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini