Penama Dan Pentadbir Dalam Pengurusan Harta Pusaka

pengurusan harta pusakaMeletakkan penama dan melantik pentadbir adalah perkara yang amat penting untuk memudahkan pengurusan harta pusaka orang Islam dan seterusnya proses pembahagian harta pusaka.

Apakah perbezaan antara penama dan pentadbir?

Secara mudahnya, penama adalah pemudah cara yang diberi kebenaran untuk menuntut harta-harta yang ditinggalkan si mati seperti simpanan KWSP, simpanan Tabung Haji, simpanan koperasi dan pampasan insurans/takaful (nota: simpanan ASB tidak dibuat penamaan, sebaliknya hibah amanah, akan dijelaskan dalam artikel lain)

Dengan meletakkan penama, pengurusan harta pusaka akan menjadi lebih mudah dan cepat kerana harta pusaka si mati dapat dikeluarkan tanpa perlu menunggu Sijil Faraid dan perintah pentadbiran harta pusaka.

Pentadbir pula, yang juga dikenali sebagai wasi, adalah wakil yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan; melaksanakan wasiat, melangsaikan hutang dan membahagikan harta pusaka tersebut mengikut faraid.

Pentadbir kebiasaanya dilantik melalui wasiat si mati.

Tetapi, jika tiada pelantikan pentadbir dalam wasiat atau tiada wasiat, maka pentadbir akan dilantik oleh mahkamah atau Pegawai Pusaka dengan mengeluarkan surat kuasa mentadbir (letter of administration, LOA) yang mana perlu mendapat persetujuan semua waris yang ada.

Sebenarnya, penama dan pentadbir boleh menjadi satu, dan boleh juga menjadi berlainan.

Penama boleh menjadi pentadbir, dan pentadbir boleh menjadi penama.

Namun, penama tidak semestinya adalah pentadbir, dan pentadbir tidak semestinya adalah penama.

Masih keliru?

Untuk memudahkan pemahaman, jom kita tengok situasi-situasi yang berikut:

Situasi #1 – Ada penamaan, ada wasiat, penama dan pentadbir orang yang sama

Tuan Haji Ahmad mempunyai simpanan yang banyak dalam KWSP dan TH beliau, di samping harta-harta lain seperti tanah dan rumah. Beliau telah meletakkan nama anaknya, Amir, sebagai penama untuk akaun simpanan KWSP dan TH beliau. Tuan Haji Ahmad juga telah menulis wasiat dan turut melantik Amir sebagai pentadbir untuk harta-hartanya apabila beliau mati nanti.

Semasa Tuan Haji Ahmad mati, beliau meninggalkan waris iaitu isteri, 2 anak lelaki, (Amir dan Hafiz), 1 orang anak perempuan (Alisa) dan kedua-dua ibubapa beliau.

Dalam situasi ini, Amir telah dilantik sebagai penama dan pentadbir.

Maka, Amir boleh menuntut simpanan Tuan Haji Ahmad dalam KWSP dan TH beliau, memohon Sijil Faraid, pengesahan wasiat dan probet (surat warisan) untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan.

Kemudian, Amir perlu melunaskan hutang-hutang Tuan Haji Ahmad, melaksanakan wasiat yang ditinggalkan dan melakukan pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan.

Nota: Boleh baca artikel ini untuk mengetahui perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam pengurusan harta pusaka: 5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid

Baca juga:  10 Langkah Merancang Pembahagian Harta Pusaka Semasa Hidup

Situasi #2 – Ada penamaan, ada wasiat, penama dan pentadbir entiti berbeza

pengurusan harta pusakaSemasa hayat Encik Kamal, beliau ada mencarum satu polisi takaful yang menyediakan pampasan jika berlaku kematian. Untuk polisi tersebut, beliau telah meletakkan nama isterinya sebagai penama. Encik Kamal juga mempunyai simpanan KWSP dan meletakkan nama ibu beliau sebagai penama kerana perkara ini dilakukan beliau semasa zaman bujang dulu.

Di samping polisi takaful dan simpanan KWSP, Encik Kamal juga mempunyai harta-harta lain seperti rumah, saham dan unit amanah. Encik Kamal ada menyediakan wasiat yang mana beliau melantik Syarikat AB Trustee sebagai pentadbir harta-harta pusakanya nanti.

Suatu hari, Encik Kamal jatuh sakit dan meninggal dunia, meninggalkan waris iaitu isteri, seorang anak lelaki dan kedua-dua ibubapa beliau.

Dalam situasi ini, penama dan pentadbir adalah entiti yang berbeza.

Jadi, apa yang perlu dilakukan adalah si isteri perlu membuat tuntuan pampasan kematian daripada syarikat takaful atas polisi yang dicarum oleh Encik Kamal, manakala si ibu perlu membuat tuntutan atas simpanan KWSP yang ditinggalkan.

Kemudian, jumlah kedua-duanya perlulah diisytiharkan dan diserahkan kepada pentadbir, iaitu Syarikat AB Trustee supaya prosedur pengurusan harta pusaka dan pembahagiannya dapat diteruskan seperti mana diwasiatkan dan mengikut hukum faraid.

Situasi #3 – Ada penamaan, tiada wasiat

Kita ambil balik situasi #1 di atas, yang mana Tuan Haji Ahmad meletakkan Amir sebagai penama untuk simpanan KWSP dan TH beliau.

Bezanya dalam situasi ini, Tuan Haji Ahmad tidak meninggalkan wasiat dan tidak melantik pentadbir.

Mujurlah Amir merupakan seorang anak yang baik dan amanah, dan mempunyai pengetahun mendalam berkenaan pengurusan harta pusaka.

Maka, Amir boleh menuntut simpanan KWSP dan TH yang ditinggalkan, mendapatkan persetujuan semua waris untuk menjadi pentadbir, memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, melunaskan hutang-hutang si mati dan seterusnya membuat pembahagian harta-harta pusaka Tuan Haji Ahmad sepertimana hukum faraid.

Nota: Boleh baca artikel ini untuk belajar prosedur pengurusan harta pusaka: Pengurusan Harta Puska Dengan Wasiat dan Tanpa Wasiat

Situasi #4 – Tiada penamaan, tiada wasiat

Kita ambil situasi #2 sebelum ini, cuma bezanya kali ini  Encik Kamal tidak membuat sebarang penamaan untuk polisi takaful dan simpanan KWSP beliau, malah tidak menyediakan wasiat untuk menguruskan harta-harta beliau.

Maka, dalam situasi ini, semua waris yang ada (dalam situasi ini adalah isteri, anak lelaki, ibu dan bapa Encik Kamal) perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang pentadbir.

Pentadbir inilah yang akan bertanggungjawab untuk memohon surat kuasa mentadbir, memohon sijil faraid, menguruskan dan membahagikan harta pusaka yang ditinggalkan Encik Kamal.

Jika pentadbir tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan pengurusan harta pusaka, maka boleh dapatkan bantuan daripada peguam atau syarikat-syarikat amanah berkaitan.

Soalan-soalan Lazim Berkaitan Penama & Pentadbir

Soalan #1 – Siapakah yang boleh diletakkan sebagai penama?

Bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh organisasi akaun simpanan  (contoh KWSP, TH, koperasi, syarikat takaful) tersebut.

Ada yang membenarkan individu sahaja, ada yang membenarkan individu ataupun organisasi (peguam atau syarikat amanah).

Ada yang membenarkan individu neutral, ada yang membenarkan waris terdekat atau yang mempunyai talian persaudaraan sahaja.

Ada yang membenarkan satu penama sahaja, ada yang membenarkan lebih daripada seorang penama.

Penama yang diletakkan perlulah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan tersebut.

Soalan #2 – Siapakah yang boleh dilantik sebagai pentadbir

Jika pemilik harta masih hidup, bergantung kepada pemilik harta tersebut untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pentadbir harta beliau sama ada waris beliau, individu neutral (bukan waris), peguam atau syarikat amanah.

Pelantikan ini sebaik-baiknya didokumenkan dalam wasiat yang sah dan disertai saksi-saksi berkelayakan.

Jika pemilik harta telah mati dan tiada wasiat, maka pentadbir boleh dilantik atas persetujuan semua waris dan kelulusan mahkamah yang akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir.

Sebaik-baiknya, pentadbir perlulah memenuhi syarat-syarat yang berikut iaitu baligh, berakal (umur 18 tahun ke atas), merdeka, adil, jujur, mampu melaksanakan amanah, Muslim dan tidak bermusuh dengan pemilik harta dan waris-waris

Baca juga:  Sedikit Coretan Tentang Penamaan KWSP

Soalan #3 – Bolehkah meletakkan penama dari kalangan anak-anak di bawah umur (18 tahun ke bawah)?

pengurusan harta pusakaBoleh jika tidak bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan organisasi simpanan tersebut.

Walaubagaimanapun, sebenarnya tidak digalakkan untuk meletakkan anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.

Ini kerana, sekiranya pemilik harta tersebut mati dan penama masih lagi di bawah umur, maka perlu menunggu sehingga penama tersebut mencapai umur 18 tahun terlebih dahulu sebelum boleh menuntut harta pusaka tersebut.

Maksudnya, harta pusaka tersebut dibekukan, tidak boleh digunakan dan tidak boleh dibahagikan, perlu menunggu sehingga penama mencapai umur dahulu sebelum boleh dituntut dan diagihkan kepada waris-waris.

Boleh jadi juga harta pusaka yang dinamakan dengan anak-anak bawah umur tersebut diserahkan kepada syarikat amanah seperti Amanah Raya Berhad.

Jadi, penjaga kepada anak-anak tersebut perlu memohon kepada syarikat amanah tersebut melalui prosedur yang mungkin rumit untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan anak-anak yang dijaga.

Maka, untuk memudahkan pengurusan harta pusaka, lebih baik elakkan meletakkan nama anak-anak atau individu di bawah umur sebagai penama.

Soalan #4 – Adakah penama adalah penerima (benefisiari)?

Mengikut undang-undang sivil, bagi harta pusaka orang bukan Islam, penama yang diletakkan adalah penerima atau benefisiari bagi harta-harta tersebut dengan syarat penama tersebut mempunyai pertalian saudara dengan si mati.

Dalam erti kata lain, penama bagi harta pusaka orang bukan Islam berhak menerima harta tersebut dan menggunakannya sepertimana yang dikehendakinya.

Berbeza pula dengan penama bagi harta pusaka orang Islam.

Keputusan Persidangan Majlis Raja-raja ke-96 pada tahun 1973 telah memutuskan bahawa penama bagi harta pusaka orang Islam bertindak sebagai pemudah cara atau pentadbir sahaja, bukan sebagai penerima atau benefisiari.

Peranan penama bagi harta pusaka orang Islam adalah untuk memudahkan proses tuntutan dan pencairan harta tersebut, yang mana kemudian perlu dibahagikan kepada waris-waris mengikut hukum faraid.

Di sinilah sering berlaku kekeliruan di kalangan orang Islam, apabila ramai menyangka penama adalah penerima mutlak bagi harta pusaka yang dinamakan.

Sebab itulah berlakunya insiden menyorok harta, menyembunyikan fakta dan memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan pembahagian harta kepada waris-waris lain dilaksanakan.

Ketahuilah, sesungguhnya ini adalah sikap yang teruk dan zalim; menzalimi waris-waris lain yang sepatutnya mendapat hak ke atas harta tersebut.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menambah dan memantapkan pengetahuan berkenaan pengurusan harta pusaka yang sebenar agar dapat mengelakkan diri dan waris terdekat daripada menzalimi dan dizalimi orang lain.

Baca juga:  5 Aspek Pengurusan Harta Pusaka Sebelum Pembahagian Faraid

4 Comments

  1. Hamba

    Assalamualaikum.. Saya sudah terbaca mengenai Hak mutlak simpanan KWSP setelah pemilik meninggal dunia dan perlu difaraidkan jika ada waris simati yang menuntut. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa adalah tidak adil simpanan KWSP itu perlu difaraidkan setelah sekiranya simati hanya mempunyai anak perempuan dan tidak ada anak lelaki. Saya mempunyai anak perempuan tidak mempunyai anak lelaki. Hasrat saya untuk memiliki rumah untuk perlindungan keluarga saya belum tercapai kerana dari dulu saya masih menyewa rumah sehinggalah sekarang. Bukan saya tidak berhasrat untuk memiliki rumah secara pinjaman malahan saya mampu untuk bayar pinjaman tetapi masaalah besarnya pinjaman sekarang ini melibatkan dengan RIBA yang diharamkan oleh Allah. Walhal saya juga boleh saja membayar pinjaman bulanan sekiranya saya mahu. Sebagai manusia, saya juga bercita untuk memiliki rumah setelah umur saya telah cukup untuk melayakkan saya untuk memiliki rumah ( setelah pencen) untuk keluarga yang saya tinggalkan nanti. Tetapi andaikata umur saya tidak kesampaian dan ajal menjemput saya lebih awal sebelum pencen akan menimbulkan maasalah kepada keluarga yang ditinggalkan sekiranya ada adik beradik saya yang menuntut harta (Simpanan KWSP) yang saya tinggalkan. Memang benar sekiranya saya telahpun memiliki rumah, kereta atau sebagainya dan masih tidak dihibahkan kepada isteri atau anak perempuan saya semasa saya hidup, Saya setuju harta itu boleh difaraidkan jika ada tuntutan dari waris saya. Dari pemahaman lemah,,saya berpendapat harta itu BEBAS dan tidak terikat kerana harata itu ada ditangan saya. Tapi malangnya simpanan KWSP yang saya ada, saya beranggapan tetap terikat dan tidak boleh dikeluarkan sehinggalah saya pencen. Walhal saya juga ingin memiliki rumah untuk perlindungan keluarga saya dan saya beranggapan simapan (KWSP) saya tidak bebas. Dan mana mungkin perlunya Faraid setelah saya meninggal dunia dan akhirnya ia boleh dituntut oleh waris saya yang lain. Bukankah itu zalim namanya sekiranya saya mati hasrat untuk membela keluarga saya dengan simpanan (KWSP) terpendam begitu saja?. Sekiranya simpanan KWSP saya boleh dikeluarkan untuk membeli rumah secara tunai, bukankah mudah saya melakukan hibah kepada anak-anak perempuan dan isteri saya ketika saya masih hidup. Bahkan tentu saja saya tidak teragak-agak keluarkan simpanan KWSP saya untuk membeli rumah bagi perlindungan keluarga saya masa akan datang. Maaf dari fahaman hamba yang lemah.

    Wallahu’alam.

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas pandangan Tuan

      Sebab itulah sangat penting untuk membuat perancangan harta pusaka semasa masih hidup. Untuk simpanan KWSP, penama adalah bertindak sebagai pentadbir, bermaksud perlu mentadbirnya mengikut hasrat/wasiat si mati (jika ada) atau jika tiada hasrat/wasiat, hendaklah membahagikannya mengikut faraid. Tuan boleh sahaja meletakkan seseorang yang dipercayai sebagai penama dan membuat dokumen wasiat yang mana menyatakan kesemua wang tersebut dihibahkan/diamanahkan untuk keperluan isteri dan anak-anak. Jadi, waris-waris yang lain tidak boleh menuntut wang tersebut kerana telah dihibahkan/diamanahkan. Bukan sahaja untuk wang KWSP, malah simpanan dan juga harta yang lain juga boleh dibuat perancangan sebaik-baiknya jika takut harta tersebut jatuh ke tangan mereka yang salah.

      Faraid tidak zalim. Faraid adalah ketetapan daripada Allah. Katakan Tuan meninggal dunia dan meninggalkan ibubapa, isteri dan anak-anak. Mengikut hukum faraid, kesemua mereka berhak menerima harta pusaka yang ditinggalkan. Ibubapa adalah orang yang membesarkan kita, banyak belanja dikeluarkan sepanjang membesarkan kita, mengapa mereka tidak layak mendapat sebahagian harta yang kita tinggalkan? Ya, isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab kita, tetapi ibubapa juga adalah tanggungjawab kita walaupun kita telah berkeluarga.

      Bab adik-beradik pula, ya, mereka boleh mendapat bahagian jika ibubapa telah tiada dan tiada anak lelaki. Tetapi, mereka harus sedar, bahagian yang diperoleh datang bersama-sama tanggungjawab untuk menjaga kebajikan ipar dan anak-anak saudara yang masih ada. Jika mereka tidak bertanggungjawab, menjawablah mereka di akhirat nanti. Jika Tuan bimbang akan hal ini, boleh sahaja dibuat perancangan harta pusaka sebaik-baiknya. Dapatkan nasihat daripada Islamic Estate Planner yang berkelayakan. Kita ada hibah, wasiat, amanah, faraid; banyak instrumen boleh digunakan untuk perancangan pusaka.

      Satu lagi. Untuk pembelian rumah, sekarang sudah ada banyak produk pembiayaan yang patuh-syariah dan bebas daripada unsur-unsur riba, yang dipersetujui oleh ulama-ulama dan juga penasihat-penasihat syariah. Kenapa perlu memilih yang berunsur riba sedangkan ada yang patuh-syariah.

      Yang terakhir. Kita boleh membuat pengeluaran duit KWSP untuk pembelian rumah. Ada kemudahan ini. Tuan boleh berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP untuk pertanyaan lanjut berkenaan hal ini.

      Sekian, terima kasih. Wallahu’alam.

      Reply
  2. hamba

    Assalamualaikum,
    Terima kasih kerana memberi pencerahan. Saya mohon maaf diatas kecacatan penulisan saya yg tuan telah baca. Saya bukan seorang penulis yang mahir. Terus terang katakan saya tidak mengatakan Faraid itu ZALIM. Na’uzubilahi minzalik. Maksud saya KWSP yang menyimpan wang simpanan saya itu. Wang itu hanya boleh dikeluarkan setelah umur saya telah mencapai 55 tahun. Tapi sekiranya umur saya tidak panjang dan meninggal awal sebelum mencapai 55. Akan timbul masaalah pada keluarga yang saya tinggalkan. Itu yang saya maksudkan Zalim kepda pihak KWSP kerana saya tidak dapat keluarkan simpanan KWSP untuk membeli rumah serta untuk membuat hibah untuk keluarga saya semasa saya hidup. Seolah2 harta itu tidak bebas ditangan saya. Dari apa yang saya tahu dan pernah saya baca bahwa menurut majlis fatwa agama menerangkan ‘PENAMA” bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah sahaja. Selagi wang tersebut berada didalam akaun kwsp ia tertakluk kepada akta wang simpanan kwsp, Ia tidak boleh dihibahkan melainkan hanya boleh diletakkan penama sahaja (wasi). selepas ia dikeluarkan daripada akaun kwsp (biasanya apabila bersara) baru wang tersebut boleh dihibahkan. itu yang saya tahu.

    Melainkan sekiranya saya memang mempunyai simpanan didalam bank ataupun saya mempunyai Tanah, rumah atau kenderaan milik saya sendiri, sekiranya saya meninggal dunia dan saya tidak Hibahkan harta saya kepada isteri dan anak2 saya semasa hidup. Ya, itu saya setuju dan perlu di faraidkan kerana tidak dihibahkan semasa saya hidup.

    Masaalah sekarang saya tidak merasakan simpanan KWSP saya adalah harta BEBAS yang boleh saya hibahkan kepada isteri dan anak2 saya semasa hidup secuali setelah umur saya mencecah 55 tahun.

    Tentang pembelian rumah pulak, tuan memberitahu ada pembiayaan yang patuh syariah dan bebas daripada unsur2 riba. Benarkah bebas dari RIBA? apakah mengikut garis panduan hukum syarak.? Kenapa pihak KWSP tidak membenarkan pengeluaran simapanan untuk membeli rumah secara tunai dan tidak berhutang. Kenapa perlunya saya memohon pinjaman dengan apa2 bank untuk beli rumah yang akan menyusahkan hidup saya serta bergelumang dengan Dosa yang tidak akan diampun oleh Allah. Saya berpendapat tiada bezanya bank Islam dan Bank Konvensional bahkan apabila dihitung setelah habis bayaran pinjaman didapati jumlah bayaran bank Islam lebih tinggi dari bank konvensional.

    Maaf tuan saya cuma inginkan kepastian sumber hukum tentang simpanan caruman yg bagi pandangan saya tidak adil untuk keluarga setelah saya tiada nanti sebelum umur saya mencapai 55 tahun. Itu maksud saya. Saya faham tentang hukum harta baik dari segi Hibah dan Faraid. Bukannya saya menolak Faraid itu. Faraid itu benar dari Allah.

    Wallahu’alam..

    Reply
    1. izzuddinjaaffar (Post author)

      Terima kasih atas komen Tuan.

      Maafkan saya kerana tersalah sangka, menganggap Tuan mengatakan faraid adalah zalim.

      Betul Tuan, bukan sahaja Tuan, malah saya sendiri dan ramai lagi turut merasakan yang syarat pengeluaran KWSP juga adalah satu syarat yang tidak adil. Namun, dari satu segi, syarat ini adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada seperti yang termaktub dalam Akta KWSP. Tujuan utamanya, adalah untuk memastikan simpanan itu ‘kekal’ dan dapat digunakan pada hari tua nanti. Kalau dibenarkan dibuat pengeluaran sesuka hati, bagaimana nanti pada hari tua? Adakah ada sumber kewangan untuk membiayai keperluan hidup?

      Sebelum dibenarkan dibuat pengeluaran, pencarum tidak mempunyai milikan penuh ke atas duit KWSP masing-masing. Atas sebab itulah duit tersebut tidak boleh dihibahkan kerana tidak cukup syaratnya. Apa-apa pun, jika Tuan bimbang tentang pengagihan duit KWSP kepada waris nanti, sekiranya meninggal awal, Tuan boleh buat perancangan pusaka sekarang ketika masih hidup. Boleh dapatkan nasihat daripada Islamic Planner seperti as-Salihin Trustee, Wasiyyah Shoppe dan Amanah Raya Berhad. Ada banyak lagi syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengurusan pusaka. Lantik pemegang amanah yang dipercayai, sediakan wasiat sebaik-baiknya, insyaAllah duit yang ditinggalkan akan diberikan kepada waris-waris dengan sebaik-baiknya.

      Berkenaan pembiayaan perumahan Islamik, ya, saya tahu ada pandangan yang mempertikaikan tentang status patuh-syariah produk pembiayaan yang ada sekarang. Saya menghormati pandangan-pandangan tersebut. Walaubagaimanapun, saya lebih cenderung memilih pandangan-pandangan yang menyokong.

      Wallahu’alam.

      Reply

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini