5 Salah Faham Tentang Perlindungan Insurans Takaful

perlindungan insurans takafulSalah faham tentang perlindungan insurans takaful

Perlindungan insurans/takaful merupakan elemen yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi seseorang.

Untuk mencapai pengurusan kewangan yang baik, terdapat 4 perkara yang paling kritikal yang perlukan perlindungan insurans/takaful, iaitu kematian, kecacatan/kelumpuhan, penyakit kritikal dan aset/hutang.

Jika berlaku apa-apa musibah melibatkan 4 perkara ini, sekurang-kurangnya pampasan daripada insurans/takaful yang diambil boleh menjadi ‘penyelamat’ kewangan.

Tidaklah sampai perlu mencairkan aset untuk menghadapi musibah.

Atau terpaksa berhutang untuk meneruskan kehidupan.

Malah, waris yang ditinggalkan pun tidaklah hilang punca pendapatan sepenuhnya.

Tetapi, walaupun perlindungan insurans takaful sangat penting, masih ramai yang mempunyai kefahaman yang salah berkenaan konsep perlindungan insurans takaful yang sebenar.

Antara salah faham yang sering diperkatakan adalah:

Salah faham #1 – Saya masih muda, jadi saya tak perlukan perlindungan insurans takaful

Walaupun berusia muda, namun hakikatnya tetap berhadapan dengan risiko.

Risiko yang paling besar dihadapi ketika usia muda adalah kemalangan, yang mana boleh menyebabkan kematian, kecacatan/kelumpuhan dan kecederaan (sakit)

Jadi, usia muda bukan alasan untuk mengelak daripada mengambil perlindungan insurans/takaful.

Pada usia muda, paling minimum cukup sekadar ambil perlindungan insurans takaful kemalangan dan kad perubatan stand-alone sahaja (untuk membantu menampung kos rawatan jika berlaku kecederaan akibat kemalangan dan rawatan sakit-sakit biasa)

Jika nak ambil perlindungan yang lebih menyeluruh seperti pelindungan pendapatan (income protection) adalah lebih digalakkan.

Yang penting, perlindungan insurans takaful tetap diperlukan oleh orang muda.

Lagipun, jika mengambil insurans/takaful semasa usia muda, jumlah caruman masih murah berbanding jika diambil ketika usia lebih tua.

Baca juga:  [VIDEO]: Fahami Asas Pelaburan

Salah faham #2 – Saya belum berkahwin dan tiada anak, saya tidak perlukan perlindungan insurans takaful

perlindungan insurans takafulBukan status perkahwinan yang menentukan samaada anda memerlukan perlindungan insurans takaful atau tidak, sebaliknya status sebagai penanggung nafkah.

Jika anda merupakan penanggung nafkah untuk orang lain, walaupun anda masih bujang, anda tetap perlukan insurans/takaful.

Bagi yang dah berkahwin dan punyai anak, sudah tentu menjadi penanggung nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Bagi yang bujang pula, boleh jadi anda menjadi penanggung nafkah kepada ibubapa yang sudah tua atau adik-beradik yang masih bergantung harap kepada anda.

Malah, orang muda juga mungkin mempunyai komitmen hutang kereta atau pelajaran.

Jadi, dengan adanya perlindungan insurans/takaful, sekurang-kurangnya anda dan penerima nafkah anda dilindungi dari segi kewangan jika berlaku apa-apa musibah.

Hutang juga boleh dibayar menggunakan perlindungan insurans/takaful yang diambil.

Salah faham #3 – Saya taknak ambil perlindungan insurans takaful sebab mahal, lagipun komitmen saya tinggi

Pakej insurans/takaful ada dalam pelbagai bentuk dan jenis, dan semuanya disediakan mengikut keperluan individu yang berbeza pada harga yang berbeza.

Contohnya, insurans/takaful bertempoh (term) adalah jauh lebih murah berbanding insurans/takaful berkaitan pelaburan (investment-link)

Tambahan lagi, harga caruman adalah bergantung kepada banyak faktor, contohnya jumlah manfaat/pampasan, usia pencarum, tahap kesihatan, status merokok dan kelas pekerjaan.

Jika di ambil semasa masih muda dan sihat, jumlah caruman adalah lebih murah berbanding semasa lebih berusia dan sakit.

Malah, jumlah manfaat boleh diubah mengikut keperluan individu dan komitmen bayaran yang sanggup dikeluarkan.

Maka, anggapan bahawa perlindungan insurans/takaful adalah mahal dan akan menjejaskan komitmen diri adalah tidak tepat.

Sebaliknya, dengan komitmen yang rendah setiap bulan, anda boleh menyediakan perlindungan untuk jaminan kewangan yang lebih baik.

Baca juga:  Bila Perlu Ambil Perlindungan Insurans/Takaful?

Salah faham #4 – Semua jenis polisi insurans/takaful adalah sama, ambil dari mana-mana syarikat pun sama sahaja

perlindungan insurans takafulSalah, banyak bezanya antara satu polisi dengan satu polisi yang lain.

Insurans dan takaful pun adalah dua jenis yang berbeza; insurans tidak patuh-syariah berdasarkan kontrak jual-beli, takaful pula patuh-syariah berdasarkan konsep derma-tabungan.

Dan seperti yang dinyatakan dalam poin #3 tadi, polisi insurans/takaful dipakejkan dalam banyak jenis dan setiap jenis adalah berbeza dari segi manfaat dan syaratnya.

Ramai yang menganggap, asalkan ambil mana-mana perlindungan insurans/takaful, sudahpun memadai.

Walhal, perlulah dilihat semula apakah jenis insurans/takaful yang hendak diambil, adakah sesuai dengan keperluan diri-sendiri.

Janganlah nanti apabila musibah menimpa, anda merungut kerana tidak layak menuntut apa-apa manfaat, ataupun manfaat yang diterima tidak sepertimana yang anda perlukan.

Ini biasanya terjadi kerana anda semberono sahaja ketika ambil perlindungan insurans takaful dulu; ambil sekadar ingin mencukupkan syarat bahawa anda dah ada perlindungan insurans/takaful.

Jadi, jika ingin ambil mana-mana polisi insurans/takaful, kenalah tahu perbezaan setiap jenis terutama dari segi manfaat, terma dan syarat supaya perlindungan yang diambil itu benar-benar sesuai dengan keperluan diri-sendiri.

Salah faham #5 – Saya dah ada perlindungan insurans takaful, cukuplah

Tahniah kerana anda dah ada instrumen perlindungan dalam pengurusan kewangan anda.

Tetapi, janganlah disimpan sahaja polisi yang diperoleh itu.

Sebaliknya, cuba semak kembali berkenaan manfaat-manfaat yang diberikan, dan terma-terma syarat atau pengecualian yang ada.

Amat penting untuk memahami sepenuhnya polisi perlindungan yang diambil agar tidak timbul apa-apa masalah ketika musibah menimpa nanti.

Di samping itu, semak juga keperluan kewangan anda dari semasa ke semasa, dicadangkan sekali setiap 5 tahun.

5 tahun dulu, keperluan anda mungkin tidak setinggi keperluan pada hari ini.

Dan polisi perlindungan yang anda ambil mungkin tidak mencukupi untuk melindungi sepenuhnya keperluan anda pada hari ini.

Jika ya, mungkin jumlah perlindungan perlu diubahsuai agar sesuai dengan keperluan semasa.

Baca juga:  5 Perkara Berkaitan Teknik Loan ASB Yang Perlu Diberi Perhatian

Dapatkan Bijak Merancang Wang Dan SeminarBMW Sekarang!

Saya merupakan seorang perunding bertauliah Islamic Financial Planner (IFP) oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM - Islamic Banking and Financial Institute Malaysia) di bawah Bank Negara Malaysia. Saya berpengalaman dalam bidang perkhidmatan kewangan di Malaysia semenjak tahun 2003, sebaik sahaja graduat daripada Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

2 Comments

  1. Pingback: Salah Faham Tentang Perlindungan Insuran dari Insuran Impian – INSURANCE BLOG

  2. Pingback: 9 Kesilapan Dan Keburukan Insurans Takaful Yang Tersalah Faham - iLabur

Tinggalkan komen/cadangan/pandangan di sini